Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis S’pura rampas lebih $150j aset berkaitan sindiket penipuan Prince Group di Kemboja

Oct 31, 2025 | 8:44 PM
Aset yang berkaitan dengan sindiket penipuan Kemboja termasuk sebuah kapal layar dan 11 buah kereta.
Aset yang berkaitan dengan sindiket penipuan Kemboja termasuk sebuah kapal layar dan 11 buah kereta. - Foto SINGAPORE POLICE FORCE

Pada 30 Oktober, polis Singapura merampas enam aset kewangan berkaitan dengan usahawan Kemboja, Chen Zhi, serta syarikatnya, Prince Group.

Rampasan tersebut berhubung kes pengubahan wang haram dan pemalsuan dokumen.

Aset-aset tersebut, termasuk akaun bank, akaun sekuriti, dan wang tunai, dianggar bernilai lebih $150 juta, kata pihak polis pada 31 Oktober.

Aset lain, termasuk sebuah kapal layar dan 11 buah kereta juga dikenakan arahan larangan pengalihan, lapor The Straits Times (ST).

Prince Group adalah sebuah konglomerat perniagaan multinasional, dengan projek-projek di Kemboja termasuk pusat peranginan dan hotel.

Chen, yang berasal dari Fujian, China, dan juga dikenali sebagai Vincent, telah dituduh pihak berkuasa Amerika Syarikat terlibat dalam penipuan dan konspirasi pengubahan wang haram, serta mengarahkan operasi sindiket penipuan buruh paksa di Kemboja. 

Beliau telah didakwa tanpa kehadirannya di mahkamah di New York.

Tiga rakyat Singapura – Nigel Tang, Chen Xiuling, dan Alan Yeo – juga dikenakan sekatan oleh pihak berkuasa Amerika pada 14 Oktober berhubung dengan siasatan jenayah siber yang dikaitkan dengan Prince Group. Aset mereka di Amerika turut dibekukan atau disekat.

Sekurang-kurangnya AS$15 bilion ($19.5 bilion) dalam bentuk Bitcoin dan berpuluh juta dalam aset lain, termasuk hartanah di London dan pulau Pasifik Palau, telah dirampas.

Chen dan rakan-rakan sekutunya kini tidak berada di Singapura, kata polis.

Pada 2024, polis telah menerima maklumat kewangan daripada Pejabat Urus Niaga Mencurigakan (STR) mengenai Chen dan sekutunya, dan memulakan siasatan. 

Dengan maklumat daripada Amerika dan Britain pada 14 Oktober, polis bekerjasama dengan agensi-agensi dalam Rangkaian Penyelarasan dan Kerjasama Kes Pengubahan Wang Haram (AC3N), yang membawa kepada operasi penguatkuasaan terhadap Chen dan sekutunya pada 30 Oktober.

AC3N adalah kumpulan yang diketuai polis dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), terdiri daripada agensi penguatkuasaan dan perisikan yang memerangi pengubahan wang haram di Singapura.

MAS berkata ia sedang bekerjasama dengan polis melalui rangkaian itu untuk siasatan yang berkaitan dengan Prince Group dalam satu kenyataan pada 31 Oktober.

MAS berkata, institusi kewangan telah memfailkan laporan transaksi mencurigakan terhadap kumpulan itu sejak 2022, dan akaun mencurigakan ditutup untuk mengelakkan wang yang lebih besar disimpan di sektor kewangan Singapura.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Komersial polis, Encik David Chew berkata: “Kes ini melibatkan rangkaian penipuan besar dan kompleks yang merentas sempadan, mengeksploitasi infrastruktur digital dan kewangan di pelbagai negara.”

“Kami akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak  untuk memerangi jenayah terancang dan pengubahan wang haram,” tambahnya.

Siasatan polis kini diteruskan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg