Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia cadang naik kadar maksimum kompaun kesalahan jalan raya
M’sia cadang naik kadar maksimum kompaun kesalahan jalan raya
Naik daripada RM300 kepada RM500 mulai 1 Jan 2029
M’sia cadang naik kadar maksimum kompaun kesalahan jalan raya
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bercadang menguatkuasakan kadar maksimum kompaun baru daripada RM300 ($93.50) kepada RM500 bagi kesalahan jalan raya mulai 1 Januari 2029.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata ia selaras pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), dengan tujuan meningkatkan pematuhan, bukan membebankan rakyat atau menambah pendapatan kerajaan.
“Peningkatan daripada RM300 kepada RM500 tidak bermaksud semua pesalah akan dikenakan kompaun RM500 secara automatik.
“Bagi kesalahan yang boleh dikompaun, pindaan ini menaikkan had maksimum tawaran kompaun.
“Sementara kadar sebenar masih tertakluk kepada jenis kesalahan dan tahap keseriusan kesalahan, tempoh penyelesaian kompaun serta tatacara yang ditetapkan.
“Kesalahan sama, tetapi hukuman disemak semula supaya kekal relevan dan mempunyai kesan pencegahan lebih berkesan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 peringkat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, pada 23 Jun, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Mengambil kira tarikh penguatkuasaannya kelak, beliau berkata ia sebagai tempoh peralihan untuk kesedaran kepada pengguna jalan raya bahawa perlu ada usaha mengubah sikap supaya lebih berhati-hati di jalan raya.
Katanya, antara kesalahan tertakluk kepada kadar kompaun baru termasuk tidak memperagakan nombor pendaftaran dengan betul, menggunakan kenderaan tanpa lesen kenderaan motor sah serta memandu tanpa lesen memandu sah.
“Selain itu, memandu melebihi had laju, gagal menjalani pemeriksaan berkala bagi kenderaan tertentu, gagal mematuhi arahan atau isyarat lalu lintas serta beberapa kesalahan lain yang berkaitan pematuhan asas jalan raya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata seksyen baru 42A diperkenalkan bagi menjadikan perbuatan berlumba di jalan raya sebagai satu kesalahan khusus mengikut Akta 333, dengan tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap kegiatan berkenaan tanpa perlu menunggu sehingga berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.
Beliau berkata seksyen baru itu memperuntukkan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM10,000, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya iaitu bagi kesalahan pertama berlumba atau mengambil bahagian dalam menduga kelajuan di jalan.
“Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman lebih berat diperuntukkan, iaitu denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata pindaan kepada Seksyen 16 dan 17 Akta 333 pula tidak membabitkan kenaikan kadar bayaran lesen kenderaan motor serta pengenalan sebarang bayaran baru, sebaliknya dilaksana bertujuan memastikan bayaran Lesen Kenderaan Motor (LKM) dikenakan berdasarkan kawasan penggunaan sebenar kenderaan.
