TP batal 1,523 saman laju akibat ralat teknikal kamera KPE
TP batal 1,523 saman laju akibat ralat teknikal kamera KPE
Polis Trafik (TP) akan membatalkan mata demerit serta memulangkan semula bayaran denda yang telah dibuat bagi 1,523 saman memandu melebihi had laju yang silap dikeluarkan antara 30 Oktober dengan 8 Disember 2025.
Langkah itu menyusuli penemuan kesilapan teknikal pada tiga kamera penguatkuasaan kelajuan di Ekspreswe Kallang-Paya Lebar (KPE), dalam kenyataan bersama polis dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 5 Februari.
Had kelajuan bagi tiga kamera berkenaan silap ditetapkan pada 70 kilometer sejam (kmj), berbanding had sepatutnya iaitu 80 kmj.
TP mengesan kesilapan tersebut semasa menjalankan audit berkala pada pertengahan Disember 2025.
Tiga kamera berkenaan diuruskan LTA bagi pihak TP, di bawah kontrak perkhidmatan bagi sistem pengurusan trafik KPE.
Menurut kenyataan tersebut, tetapan had kelajuan yang salah dibuat oleh kontraktor LTA semasa kerja penggantian perkakasan pada 30 Oktober.
Pemandu terjejas tidak perlu mengambil sebarang tindakan, sebaliknya TP akan memaklumkan perkara tersebut kepada mereka, jelas kenyataan tersebut.
Mereka yang telah membuat pembayaran denda pula akan menerima bayaran balik melalui PayNow atau pindahan bank.
Dalam kenyataan itu, LTA dan TP memohon maaf atas kesulitan yang timbul.
“Kami memandang serius perkara ini dan sedang memperkukuh semakan serta kawalan kami bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang,” kata LTA dan TP.
Mereka menambah bahawa semua kamera kelajuan di KPE yang berada di bawah kontrak perkhidmatan itu telah diperiksa bagi memastikan had kelajuan ditetapkan dengan betul.
Sebagai langkah berjaga-jaga, TP turut menjalankan pemeriksaan ke atas semua kamera kelajuan lain di serata negara.
Pemandu yang terjejas dan mempunyai pertanyaan boleh menghubungi TP melalui portal maklum balas polis.
Data terkini TP yang dikeluarkan pada Ogos 2025 menunjukkan kesalahan memandu melebihi had laju meningkat 45.5 peratus pada separuh pertama 2025, kepada lebih 118,000 kesalahan, berbanding tempoh sama pada 2024.
Bilangan kematian dan kecederaan akibat nahas jalan raya mencapai tahap tertinggi dalam tempoh lima tahun pada 2024, dengan memandu melepasi had laju menyumbang kepada satu dalam tiga kemalangan maut.
Singapura turut mencatat jumlah tertinggi kesalahan memandu laju dalam tempoh sedekad pada 2024, dengan lebih 201,300 kesalahan.
Sejak 1 Januari, pemandu yang ditangkap memandu melepasi had laju telah menerima hukuman lebih berat, termasuk mata demerit lebih banyak dan denda kompaun lebih tinggi.
Pemandu yang melepasi had laju kenderaan atau jalan raya akan menerima antara dua dengan enam lagi mata demerit.
Mereka yang ditangkap memandu tidak lebih 20kmj daripada had yang ditetapkan, akan menerima enam mata demerit, naik daripada empat mata demerit sebelum ini.
Pemandu yang melebihi had laju dari 41kmj hingga 50kmj pula akan dikenakan 18 mata demerit, naik daripada 12 mata sebelum ini, dan juga akan didakwa di mahkamah.
Denda kompaun turut dinaikkan antara $50 dengan $100, bergantung kepada berat kesalahan dan jenis kenderaan.
Pemandu yang menerima 24 mata demerit dalam tempoh 24 bulan akan digantung lesen memandu mereka.

