PUTRAJAYA: Malaysia dan China beriltizam memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, perdagangan dan pelaburan, selain teknologi baru seperti inisiatif kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pada masa yang sama, kerjasama turut membabitkan semua kaedah yang dibincangkan kededua negara sejak sekian lama.
Komitmen itu dizahirkan semasa pertemuan Datuk Anwar bersama Presiden China, Encik Xi Jinping, di Putrajaya sempena lawatan negara pemimpin China itu ke Malaysia pada 16 April.
Kededua pemimpin turut menyaksikan pertukaran 31 Memorandum Persefahaman (MOU) dan dokumen merangkumi pelbagai sektor kerjasama antara dua negara.
Antara MOU dimeterai yang menarik tumpuan membabitkan bidang AI dan ekonomi digital; MOU antara kerajaan Malaysia dengan Agensi Berita Xinhua dari China dalam bidang berita dan maklumat; perjanjian pengecualian visa secara timbal balas bagi pemegang pasport urusan rasmi dan pasport biasa.
MOU lain antaranya membabitkan usaha menaik taraf program, Two Countries Twin Parks Malaysia-China, serta kerjasama dalam pematuhan piawaian; pembinaan makmal gabungan bahan baru AI+ China-Malaysia; serta tiga MOU yang merangkumi kerjasama dalam perkhidmatan perdagangan.
Datuk Anwar berkata hubungan akrab antara Malaysia dengan China bukan hanya sekadar rakan strategik yang menyeluruh, bahkan sebagai sahabat sejati pada waktu senang atau mencabar.
“Ketika sesetengah negara meninggalkan prinsip tanggungjawab bersama dan ada yang mempersoalkan iltizam yang sudah lama wujud, daya usaha sejagat China menawarkan sinar harapan baru, melihat ke luar dan tidak berbicara mengenai persaingan, sebaliknya pembaharuan.
“Kekuatan sebenar hubungan kededua negara melangkaui angka dagangan atau statistik pelancongan, sebaliknya berpaksi kepada persefahaman yang mendalam, kemakmuran yang dikongsi bersama dan kepercayaan perlu dipelihara dengan penuh perhatian, kesabaran dan komitmen,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada pertemuan dan mesyuarat dua hala antara Malaysia dengan China di Putrajaya.
Lawatan Encik Xi ke Malaysia kali ini adalah yang kedua dalam tempoh 12 tahun selepas kunjungan beliau pada 2013, di tengah-tengah landskap geopolitik dan geoekonomi yang mencabar.
Presiden Xi berada di Malaysia selama tiga hari atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Dalam pada itu, Datuk Anwar turut menyampaikan pendirian Malaysia dan kesepakatan bersama negara anggota Asean untuk meneruskan rundingan dan semangat kesepaduan bagi mencari jalan penyelesaian mampan berhubung isu tarif timbal balas yang dikenakan Amerika Syarikat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg