Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura sedang teroka kerjasama baru dengan Afrika, Amerika Latin

Bakal buka lebih banyak misi diplomatik di kededua wilayah dalam beberapa tahun akan datang
Apr 16, 2025 | 8:41 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) telah menubuhkan Unit Perkongsian Pembangunan yang baru untuk menyelaras usaha merentas agensi, mengukuhkan kerjasama, dan memberi tumpuan kepada bidang di mana Singapura boleh memberi impak yang bermakna di peringkat global, di Ceramah S Rajaratnam 2025 yang diadakan di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada 16 April.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) telah menubuhkan Unit Perkongsian Pembangunan yang baru untuk menyelaras usaha merentas agensi, mengukuhkan kerjasama, dan memberi tumpuan kepada bidang di mana Singapura boleh memberi impak yang bermakna di peringkat global, di Ceramah S Rajaratnam 2025 yang diadakan di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada 16 April. - Foto ST

Singapura sedang meneroka kerjasama baru dan akan membuka misi diplomatik di Afrika dan Amerika Latin dalam beberapa tahun akan datang.

Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) juga telah menubuhkan Unit Perkongsian Pembangunan yang baru untuk menyelaras usaha merentas agensi, mengukuhkan kerjasama dan memberi tumpuan kepada bidang di mana Singapura boleh memberi impak yang bermakna di peringkat global, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 16 April.

Ini berlaku di tengah-tengah perang perdagangan yang berterusan antara Amerika Syarikat dengan China, yang tercetus akibat tindakan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengenakan tarif ke atas kebanyakan negara di dunia, termasuk Singapura.

Mengulas mengenai perkembangan hubungan Singapura dengan Afrika dan Amerika Latin, Encik Wong berkata wilayah itu mempunyai banyak potensi, namun pemerintah belum dapat benar-benar mendekati mereka di sana, disebabkan jarak dan kurang pendedahan mengenai wilayah itu.

“Kami pada masa ini hanya mempunyai dua misi diplomatik yang berkhidmat untuk seluruh benua Afrika (di Kahirah dan Pretoria) dan hanya satu di Amerika Latin.

“Ini tidak mencukupi. Kami akan membuka misi diplomatik baru di Afrika dan Amerika Latin dalam beberapa tahun akan datang.

“Kami berharap langkah ini akan menunjukkan kepada rakan-rakan kami di Afrika dan Amerika Latin bahawa Singapura berhasrat untuk memperkukuh hubungan – dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama – demi manfaat bersama,” ujar beliau.

Encik Wong berkata demikian pada Ceramah S Rajaratnam 2025 yang diadakan di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada 16 April.

Ceramah itu dihadiri lebih 900 orang termasuk pemegang jawatan politik, pegawai pemerintah kanan, anggota kor diplomatik, anggota kumpulan pemikir, pegawai awam serta pelajar.

Selain wilayah Afrika dan Amerika Latin, Encik Wong turut berkongsi hasrat Singapura mengembangkan lagi kerjasama di Timur Tengah.

Menurutnya, negara Teluk sedang berkembang pesat dan membina peranan sebagai ‘pemain geopolitik utama atas kapasiti mereka sendiri.

“Kita mempunyai perkongsian menyeluruh dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan baru-baru ini telah meningkatkan hubungan kita dengan Arab Saudi kepada Perkongsian Strategik.

“Kita juga telah menginstitusikan dialog dengan Qatar dan Oman.

“Kita akan terus memperkukuh kerjasama, bukan sahaja dengan negara-negara Teluk tetapi juga dengan rakan-rakan lain di Timur Tengah,” kata Encik Wong.

Encik Wong juga menambah dengan penubuhan unit baru MFA, Singapura akan meningkatkan usahanya.

Ia akan terus memberi tumpuan kepada Asia Tenggara, tetapi pada masa yang sama turut memperuntukkan lebih banyak sumber untuk rakan-rakan di rantau yang lebih jauh seperti Afrika, Timur Tengah, Amerika Latin, Pasifik dan Caribbean, serta memperluas penglibatannya dalam bidang baru seperti ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui.

“Melalui usaha-usaha ini, kami berharap dapat menjadi rakan global yang bertanggungjawab dan membantu dalam membentuk persekitaran dunia yang lebih mantap, berdaya tahan serta terangkum,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Wong, juga berkata ketegangan dan rasa tidak percaya yang mendalam antara Amerika dengan China boleh mencetus konflik yang lebih besar dan berbahaya jika tersilap langkah.

Kedua-dua negara itu kini bersaing hebat untuk menjadi kuasa besar dunia walaupun tidak menginginkan peperangan tercetus antara mereka.

Encik Wong berkata kedua-dua negara tidak ingin negara lain memilih mana-mana pihak namun pada hakikatnya, berusaha menarik lebih banyak negara ke dalam kem mereka.

Persaingan itu sedang mengubah dunia dan akan terus mempengaruhi politik global untuk tahun-tahun akan datang, tambah beliau.

“Kedua-dua negara (Amerika dan China) tidak mahu berkonflik secara terbuka.

“Namun, terdapat rasa tidak percaya dan kecurigaan yang mendalam di kedua-dua belah pihak.

“Kesilapan dalam membuat keputusan, terutamanya berhubung isu sensitif seperti Taiwan, boleh menambah kegentingan situasi menjadi lebih berbahaya,” ulas Encik Wong.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Wong berkata dunia kini sedang melalui peralihan yang kacau-bilau, tanpa arah yang jelas.

Amerika semakin mengundurkan diri daripada peranannya sebagai penjaga ketenteraman global, namun tiada negara, termasuk China, yang bersedia mengambil alih tempatnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg