Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia contohi S’pura laksana Dasar Gaji Progresif

Oct 31, 2023 | 1:19 PM
TAMBAH BAIK DASAR: Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Rafizi Ramli, menjelaskan kerajaan akan melaksanakan Dasar Gaji Progresif sebagaimana di Singapura, bagi meningkatkan produktiviti dalam pasaran buruh negara.
TAMBAH BAIK DASAR: Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Rafizi Ramli, menjelaskan kerajaan akan melaksanakan Dasar Gaji Progresif sebagaimana di Singapura, bagi meningkatkan produktiviti dalam pasaran buruh negara. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Malaysia mencontohi Singapura untuk memperkenalkan Dasar Gaji Progresif, bagi mereformasikan pasaran buruh dengan matlamat untuk meningkatkan gaji pekerja selari dengan kecekapan produktiviti.

Menteri Ekonomi, Encik Rafizi Ramli, berkata bagi tujuan itu, kerajaan akan mengeluarkan garis panduan kenaikan gaji tahunan bagi setiap sektor dan kategori pekerjaan seiring pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.

Katanya, Dasar Gaji Progresif tidak bersifat mandatori, sehubungan itu tiada undang-undang baru akan diperkenalkan seiring pelaksanaanya kelak.

Beliau berkata hanya majikan yang membayar gaji berdasarkan garis panduan itu layak menyertai dasar berkenaan, sekali gus membolehkan mereka menerima bantuan berteraskan insentif yang akan diperkenalkan kerajaan kelak.

“Bagaimanapun, peruntukan bagi pemberian insentif bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan dan disemak semula dari semasa ke semasa.

“Dasar ini juga mewajibkan pekerja untuk menghadiri latihan peningkatan kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan bagi membolehkan majikan menawarkan kenaikan gaji,” katanya lapor Berita Harian Malaysia pada Isnin.

Encik Rafizi berkata peningkatan kemahiran juga menjadi keutamaan dalam pelaksanaan dasar itu bagi memastikan produktiviti pekerja ditingkatkan selari dengan kenaikan gaji yang diterima.

“Dasar Gaji Progresif akan dimulakan dengan projek rintis dengan penilaian terhadap keberkesanan akan dibuat sebelum pelaksanaannya dibuat secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan di Parlimen bagi memperincikan mekanisme pelaksanaannya.

“Saya mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan daripada ahli Yang Berhormat dalam sesi pembentangan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif ini.

“Maklum balas ahli Yang Berhormat adalah penting dalam membantu kementerian melaksanakan Dasar Gaji Progresif yang diharapkan dapat meningkatkan pendapatan dan membantu pekerja dalam menangani cabaran kos sara hidup,” katanya.

Secara umumnya, Encik Rafizi berkata dasar itu mempunyai tiga ciri asas iaitu pelaksanaan secara sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.

Dasar Gaji Progresif yang dimasukkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah antara inisiatif kerajaan bagi meningkatkan gaji pekerja, terutama yang bergaji rendah dan masih menjadi isu dalam pasaran buruh.

“Dasar Gaji Progresif akan dimulakan dengan projek rintis dengan penilaian terhadap keberkesanan akan dibuat sebelum pelaksanaannya dibuat secara menyeluruh.”
Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Rafizi Ramli.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg