Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia dijangka terima kapal tempur tentera akhir 2026

Aug 17, 2023 | 5:36 PM
BAKAL TIBA: Gambar fail Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang diambil pada 13 Ogos 2022. Pembinaan kapal itu bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diteruskan selepas kontrak tambahan keenam projek tersebut ditandatangani pada Mei.
BAKAL TIBA: Gambar fail Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang diambil pada 13 Ogos 2022. Pembinaan kapal itu bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diteruskan selepas kontrak tambahan keenam projek tersebut ditandatangani pada Mei. - Foto fail BHM

KOTA KINABALU: Malaysia dijangka menerima Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang tertangguh secara berperingkat dengan kapal pertama dijangka pada hujung 2026.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, berkata projek LCS itu dijangka disambung mulai September.

Beliau berkata pembinaan itu diteruskan selepas kontrak tambahan keenam projek tersebut ditandatangani semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023) di Langkawi pada Mei.

“Lima kapal LCS akan diserahkan kepada TLDM secara berperingkat dengan kapal pertama dijangka diserahkan pada hujung 2026,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Penutup Latihan Angkasa dan Samudra (Latihan ANGSA) di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu.

Sebelum ini, pembinaan LCS itu dilanda kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa tiada satu pun kapal itu siap walaupun kerajaan Malaysia telah membayar RM6.083 bilion ($1.78 bilion) kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang diberi kontrak untuk membinanya.

Mengenai projek Kapal Misi Pesisir (LMS), Tan Sri Abdul Rahman berkata ia masih di peringkat mengenal pasti pembina sesuai untuk melaksanakan pembinaan projek itu berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan TLDM.

“Peruntukan telah diberikan, kita mengharapkan kontrak tersebut dapat dimeterai selewat-lewatnya pada tahun ini dan pembinaan dapat dimulakan pada tahun depan (2024) dengan jangkaan 36 bulan untuk disiapkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Latihan ANGSA yang menggabungkan TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 28 Julai melibatkan 2,562 anggota yang turut merangkumi Tentera Darat Malaysia sebagai elemen sokongan dan pemerhati.

Beliau berkata objektif latihan itu antara lain ialah untuk menilai saling boleh kendali TLDM dan TUDM, khususnya dalam aspek 3P, iaitu People, Process, Platform, dengan pelibatan aset milik kedua-dua perkhidmatan.

“Latihan ini signifikan dalam memastikan kedua-dua perkhidmatan mampu beroperasi sebagai sebuah angkatan tugas yang lebih serba boleh dan efisien di zon maritim Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, berkata TUDM telah menandatangani kontrak pembelian pesawat peronda maritim baru ATR 72 yang dijangka masuk dalam inventori TUDM mulai 2026, selain kontrak pembelian fasa pertama tiga unit sistem udara tanpa pemandu (UAS) buatan Turkey.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg