SHAH ALAM: Sebuah badan cegah jenayah di Malaysia pada 6 Januari mengumumkan ia akan menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 ($5,648) kepada sebarang pihak yang membantu polis agar suspek yang bertanggungjawab atas pembunuhan seorang kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin berjaya ditangkap.
Allahyarham Zayn, 6 tahun, terdahulu pada 6 Disember ditemui maut di aliran anak sungai dekat kediaman keluarganya di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor dengan kesan kecederaan yang dipercayai akibat dibunuh.
Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor, Datuk Seri A Thaiveegan, berkata pemberian ganjaran itu dibuat melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor dalam usaha membantu menyelesaikan kes pembunuhan kanak-kanak itu.
“MCPF Selangor bersedia menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada sesiapa yang boleh membantu memberikan maklumat kepada Polis Selangor untuk menangkap suspek dan dituduh dengan kesalahan itu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
“Ini inisiatif pihak MCPF Selangor yang sudah dipersetujui pengerusi kami, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, pada 6 Januari.
Datuk Seri Thaiveegan yang juga bekas Ketua Polis Pulau Pinang menghadiri sidang media berkenaan yang dipengerusikan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Sementara itu, Datuk Hussein berkata, polis setakat ini masih tidak menemui sesuatu yang kukuh untuk menjurus ke arah individu yang terbabit dalam kes pembunuhan kanak-kanak itu.
“Itu kesulitan yang dialami oleh pihak polis, kita tidak jumpa satu keterangan fizikal atau keterangan verbal yang nampak boleh menjurus ke arah individu yang melakukan perbuatan ini.
“Walaupun kita sudah cuba dan pelbagai usaha dilakukan, dari awal Disember hingga kini dua bulan lebih kita berada di tempat itu menyiasat dan juga tempat lain yang difikirkan wajar.
“Kita juga menggunakan bantuan teknikal, tetapi masih belum menemui sesuatu yang dapat menjurus ke arah penangkapan individu itu, tetapi polis masih meneruskan usaha mengesan pihak yang melakukannya,” katanya.
Setakat ini, Datuk Hussein berkata, Polis Kontinjen Selangor terutama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dibantu pasukan Bukit Aman melakukan pemeriksaan membabitkan 1,613 unit rumah.
“Polis sudah memeriksa 5,786 individu, 216 kenderaan diperiksa, 17 individu ditangkap dan 243 kenyataan sudah diambil.
“Selain itu, rakaman daripada 15 sistem kamera litar tertutup (CCTV) diperiksa dan 168 item barang kes dipungut di tempat kejadian serta pelbagai tempat lain.
“Sebanyak 262 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada individu, manakala pemeriksaan forensik turut dilakukan ke atas 42 rumah,” katanya.
Beliau berkata, dalam siasatan kes itu juga, polis menggunakan khidmat lapan anjing pengesan unit K9 sebanyak enam kali, selain khidmat bomba, jabatan perhutanan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). - Agensi Berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg