Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes bunuh anak autistik: Netizen lebih sudu dari kuah

Dec 18, 2023 | 5:30 AM
ANAK ISTIMEWA: Kematian tragik kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, enam tahun, merobek hati masyarakat seluruh negara dan negara jiran termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia.
ANAK ISTIMEWA: Kematian tragik kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, enam tahun, merobek hati masyarakat seluruh negara dan negara jiran termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia. - Foto FACEBOOK IZZ MANAF

Pada 6 Disember, Malaysia digemparkan dengan berita pilu kehilangan seorang kanak-kanak autistik berusia enam tahun, yang kemudian mayatnya ditemui dengan kesan kecederaan akibat dibunuh.

Kejadian malang menimpa Allahyarham Zayn Rayyan bukan saja satu episod duka yang menyentak jiwa rakyat Malaysia, malah juga warga di negara jiran Singapura, Brunei dan Indonesia.

Tragiknya kisah pemergian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin adalah kerana awalnya dia disangka lemas saat mayatnya ditemui di aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor, pada 10 malam 6 Disember.

Namun rupanya, mangsa disahkan sudah meninggal dunia 48 jam sebelum mayatnya ditemui diletakkan di aliran anak sungai itu, dengan lehernya terdapat kesan kecederaan membuktikan wujud unsur jenayah dalam kes kehilangan Zayn Rayyan.

Tiada siapa menyangka, kanak-kanak comel yang disifatkan manja dan disenangi ramai itu dalam sekelip mata hilang dari radar ibunya, Cik Ismanira Abdul Manaf, 28 tahun, ketika mereka dalam perjalanan naik ke kediaman di Apartment Indah, selepas pulang dari sekolah.

Hancur harapan kedua ibu bapa dan keluarganya untuk melihat Zayn Rayyan yang hilang pada 5 Disember, kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Ketika nota ini ditulis, polis masih giat menjalankan siasatan untuk memburu penjenayah yang melakukan perbuatan kejam itu.

Siasatan menyeluruh dan berskala besar dilakukan dari segenap aspek, termasuk menyiasat ahli keluarga, jiran dan penduduk berhampiran, malah sehingga takungan sungai lokasi penemuan mangsa juga disedut airnya demi mencari bukti siapakah pelaku yang bertanggungjawab.

Namun, bukan perjalanan siasatan kes yang ingin saya kupas, tetapi saya tertarik untuk menyentuh soal adab dan sensitiviti manusia terhadap isu sebegini.

Ini khususnya ketika melontarkan komen di media sosial tatkala insan lain sedang bergelut meratapi perginya anak tersayang.

Kejadian menimpa Zayn Rayyan bukan hanya mendedahkan cabaran ibu bapa dalam melindungi kanak-kanak autisme, bahkan pertimbangan netizen dalam menabur spekulasi yang boleh mengguris hati keluarga dan mereka yang membacanya.

Tidak dapat diterima akal yang waras, bagaimana segelintir netizen boleh berlaku ‘kejam’ terhadap keluarga mangsa, terutama apabila ada yang membuat tuduhan liar kematian Zayn Rayyan berpunca daripada kelalaian ibu bapanya.

Malah lebih zalim lagi ada pula yang mempertikaikan status kelahiran kanak-kanak itu lantaran maklumat peribadi yang tular hingga menebak pelbagai komen memalukan yang mengguris hati ibu bapa khalifah kecil itu.

“Zayn Rayyan anak kandung kami berdua. Saya tidak pernah kahwin lain. Minta semua stop (berhenti) sebarkan perkara tidak betul,” kongsi Cik Ismanira Abdul Wahab, 28 tahun dan suaminya, Encik Zaim Ikhwan Zahari, 28 tahun di Facebooknya pada 14 Disember.

Perkongsian itu dibuat ekoran tidak tahan dengan kecaman dan sanggahan netizen mengenai keluarga dan Allahyarham anaknya.

Keadaan yang boleh disifatkan melampau itu memaksa polis mengeluarkan peringatan dan amaran kepada orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan kematian Allahyarham kerana siasatan masih dijalankan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, bersuara sebegitu tegas selepas pihaknya mengesan beberapa komen dan kenyataan di laman sosial berkait kejadian itu yang bukan saja mewujudkan kegusaran kepada orang awam, malah mengganggu emosi keluarga yang dalam kesedihan.

Tidak dinafikan memang wujud kisah ibu bapa yang mengabaikan anak, membiarkan anak menjadi mangsa seksual dan penderaan hingga maut, namun itu bukanlah tiket untuk setiap daripada kita sewenang-wenangnya mengeluarkan tuduhan sedemikian kepada mana-mana individu.

Pelakon Zarina Zainuddin, 52 tahun, yang turut mempunyai anak lelaki kembar autistik, Azal dan Azil, 27 tahun, antara yang turut terkesan dan bersedih dengan kejadian malang menimpa Zayn Rayyan.

Katanya, beliau memahami keperitan ibu bapa yang membesarkan anak autistik dan kesal dengan sikap segelintir pihak yang menuding jari kepada ibu bapa sepertinya, sedangkan hakikatnya mereka memperuntukkan sepenuh perhatian sepanjang membesarkan anak istimewa.

“Tingkah laku anak autisme tidak sama seperti kanak-kanak normal. Kalau anak normal kita besarkan dengan perhatian 100 peratus, anak autisme menuntut pengorbanan dan perhatian 300 peratus.

“Saya sendiri pernah berdepan kehilangan anak, sedangkan ketika itu berada di rumah. Mereka lari dengan memanjat pagar rumah. Perkara itu di luar kawalan. Cuma saya bernasib baik kerana anak saya dikenali kerana selalu berkongsi kisah anak autisme di media sosial.

“Jadi apabila ada netizen yang menuduh ibu mangsa abai anak, saya rasa marah. Mereka tidak berada di tempat ibu bapa seperti kami.

“Kalau tidak boleh nak beri kata semangat atau sokongan moral, jangan sakitkan hati ibu bapa yang sedang bersedih dengan komen mengarut,” katanya kepada Berita Harian.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Encik Ghazali Ismail berkata masyarakat era kini semakin terhakis dengan nilai murni dan lebih seronok untuk mencuri perhatian ramai menerusi tindakan mencetuskan spekulasi.

Katanya, budaya tersebut yang dilihat semakin menular dilihat sesuatu yang amat tidak sihat dan ‘penyakit’ itu perlu dilontar jauh, sebelum membarah dalam masyarakat.

“Bagi saya kerajaan sudah menggariskan undang-undang yang memadai untuk menangani kes-kes sebegini. Sebagai contoh membuat komen jelik di media sosial, mengaibkan individu lain dengan perkara tidak berasas dan sebagainya.

“Namun kesedaran dalam diri individu itu sendiri masih nipis. Agama juga tidak mengajar kita untuk bersangka buruk, menuduh, melempar fitnah, menyakiti hati orang lain dan sebagainya. Itu pun sudah cukup menjadi panduan sebenarnya, tetapi masyarakat kita lalai.

“Saya juga kecewa melihat sikap segelintir pihak yang seperti ini. Nasihat saya jangan lebih sudu daripada kuah. Pihak berkuasa tahu apa yang mereka patut lakukan, waima menyiasat ahli keluarga sekalipun. Jadi, tak perlu lempar tuduhan tidak berasas,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg