PUCHONG (Selangor): Fenomena Super El Nino, iaitu keadaan pemanasan alam sekitar yang sangat ekstrem dan melebihi purata suhu, diramal bermula November depan, sekali gus meningkatkan risiko cuaca lebih panas sehingga mencecah 40 darjah Celsius dan jerebu, serta pengurangan hujan, terutama selepas berakhirnya musim Monsun Timur Laut pada awal 2027.

“Fenomena El Nino ketika ini telah pun berlaku, namun status Super El Nino hanya dijangka bermula sekitar November 2026 dan berterusan sehingga Januari 2027.

“Fenomena itu berlaku di tengah Lautan Pasifik, namun kesannya boleh dirasai di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

“Bagaimanapun, impaknya kepada negara dijangka berlaku sedikit lewat berbanding kawasan asal,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Encik Ambun Dindang, lapor portal Berita RTM.

Encik Ambun berkata demikian ketika ‘Sesi Libat Urus Bersama Media: Kesiapsiagaan Kerajaan Menghadapi Monsun Barat Daya 2026’, di Puchong, Selangor, pada 7 Julai.

Menurut Encik Ambun, Malaysia dijangka mengalami pengurangan taburan hujan yang ketara serta peningkatan suhu pada awal 2027, sekiranya ramalan tersebut menjadi kenyataan.

Tambahnya, pengalaman lalu menunjukkan fenomena El Nino yang kuat pernah menyebabkan Malaysia merekodkan suhu tertinggi, termasuk bacaan 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis, pada 9 April 1998, serta 39.3 darjah Celsius di Batu Embun, Jerantut, Pahang, pada 2016.

Mengulas laporan yang meletakkan Malaysia bersama Singapura, Indonesia dan Brunei berisiko dalam menghadapi jerebu rentas sempadan dalam beberapa bulan akan datang, Encik Ambun berkata unjuran itu dibuat menyusuli perkembangan fenomena El Nino, serta keadaan cuaca kering ketika musim Monsun Barat Daya.

Beliau menjelaskan sepanjang Monsun Barat Daya, kebanyakan negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura dan Indonesia lazimnya mengalami cuaca lebih panas dan kering, sekali gus meningkatkan risiko jerebu.

“Ketika musim ini, jerebu boleh berpunca daripada sumber tempatan atau dibawa merentasi sempadan dari negara jiran, yang turut mengalami cuaca kering,” katanya.

Menurut beliau, pemantauan menerusi Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) turut menunjukkan kewujudan beberapa titik panas di negara jiran, yang berisiko menjejaskan kualiti udara serantau.

Bagaimanapun, Encik Ambun menegaskan masih terlalu awal untuk mengesahkan Malaysia akan berdepan episod jerebu yang serius, kerana keadaan bergantung kepada perkembangan cuaca dan arah angin dari semasa ke semasa.