Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia gesa Asean bertindak tangani jerebu capai tahap tidak sihat
11 kawasan di Sarawak, Melaka catat indeks pencemaran tidak sihat pada 22 Ogos
PETALING JAYA: Malaysia menggesa negara anggota Asean supaya meningkatkan langkah pencegahan dan persediaan terhadap masalah jerebu rentas sempadan memandangkan keadaan cuaca kering mendorong kualiti udara ke tahap tidak sihat di beberapa negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia, Encik Arthur Joseph Kurup, berkata negaranya kekal komited terhadap matlamat serantau untuk mencapai Asean bebas jerebu menjelang 2030 melalui pelaksanaan Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) yang berkesan.
Beliau berkata Malaysia telah menyampaikan pendiriannya melalui mesej rasmi kepada setiausaha agung Asean, Encik Kao Kim Hourn, pada 21 Ogos.
Seruan itu dibuat ketika 11 wilayah di Sarawak dan Melaka mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat setakat 8 pagi 22 Ogos, menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara.
Serian mencatatkan bacaan IPU tertinggi di Malaysia iaitu 190, diikuti Kuching (181), Samarahan (177), Sri Aman (174), Sarikei (172), Sibu (160), Bintulu (157), Samalaju (156), Mukah (156), Miri (152) dan Bukit Rambai di Melaka (140).
Encik Kurup berkata cuaca kering yang berpanjangan di rantau Asean selatan telah mengakibatkan peningkatan titik panas dan masalah jerebu.
Beliau berkata keadaan boleh menjadi lebih buruk kerana fenomena El Nino dijangka bertambah buruk secara beransur-ansur dalam beberapa bulan akan datang.
“Walaupun kebakaran kini masih terkawal di sempadan negara anggota Asean, namun risiko jerebu rentas sempadan memerlukan persediaan kolektif dan peningkatan kewaspadaan di peringkat serantau,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 Ogos.
Menurutnya, pencemaran jerebu rentas sempadan yang disebabkan oleh kebakaran tanah dan hutan mesti ditangani secara kolektif melalui tindakan pencegahan, persediaan negara dan pemantauan berterusan berdasarkan prinsip AATHP.
Encik Kurup menggesa negara anggota Asean supaya memantau kawasan berisiko tinggi dengan teliti, meningkatkan pengawasan titik panas, menguatkuasakan sekatan pembakaran terbuka dan memastikan kesiapsiagaan memadam kebakaran yang cekap bagi mencegah kebakaran daripada merebak.
Sementara itu, 57 kawasan di Malaysia mencatatkan bacaan IPU sederhana, manakala tiada yang mencatatkan kualiti udara yang baik.
Antara kawasan dengan bacaan sederhana tertinggi ialah Kapit dan Johan Setia di Selangor, kedua-duanya pada 97, diikuti oleh Shah Alam dan Miri pada 89.
Sungai Petani dan Politeknik Kota Kinabalu mencatatkan 87, Tawau 84, manakala Minden di Pulau Pinang dan Kuala Selangor mencatatkan 83.
Putrajaya mencatatkan 82, manakala Seberang Perai dan Seri Manjung mencatatkan 81.
Bacaan IPU antara sifar dan 50 menunjukkan kualiti udara yang baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara di serata Malaysia.
Malaysia juga mengalu-alukan peranan proaktif Sekretariat Asean sebagai Pusat Penyelarasan Sementara Asean untuk Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan dalam memudahkan perkongsian maklumat, menyelaras langkah-langkah persediaan antara negara anggota dan memperkukuh kerjasama di bawah AATHP. – Agensi berita.
