SEREMBAN: Bantahan Malaysia terhadap tuntutan Filipina ke atas Sabah menerusi penyerahan nota diplomatik kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, adalah selari dengan status negara ini sebagai negara merdeka dan diiktiraf PBB.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata nota bantahan itu dihantar kepada PBB susulan usaha Manila untuk mengambil sempadan laut Malaysia sebagai sebahagian wilayah mereka bermula dari Sabah.
“Kita buat nota kepada pihak PBB kerana ada nota daripada pihak Filipina menyatakan bahawa Manila mengambil kira sempadan laut dari Sabah.
“Jelas sekali, jika itu jadi asas ukuran Manila, maka mereka mengatakan Sabah itu mereka yang punya, jadi kita buat nota bantahan kepada PBB.
“Penubuhan dan kemerdekaan Sabah serta Sarawak, bersama-sama dalam pembentukan Persekutuan Malaysia ini dibuat secara teratur, tersusun dan semua pemimpin bersetuju serta diperakui PBB.
“Tiada sesiapa atau mana-mana pihak boleh mendakwa ada kawasan di negara ini, wilayah mereka kerana Malaysia sebuah negara merdeka, berdaulat yang mana ada dalam Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bergabung menjadi Persekutuan Malaysia,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Datuk Mohamad berkata belum dipastikan sama ada perkara itu akan dibawa sehingga ke peringkat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Ada kemungkinan perkara ini akan dibawa sehingga ke ICJ, namun itu terpulang... tetapi sebaiknya, saya minta ia tidak menjadi sebab boleh menggugat hubungan dua hala yang amat baik antara Malaysia dengan Filipina.
“Nota bantahan yang kita hantar itu pun untuk nyatakan (pendirian) kita sebagai negara yang merdeka dan diiktiraf pertubuhan antarabangsa iaitu PBB,” katanya.
Pertikaian membabitkan Sabah berlanjutan beberapa kali sebelum ini yang menyaksikan bukan hanya membabitkan penyerahan nota diplomatik, bahkan tindakan undang-undang dan pencerobohan bersenjata.
Pada awal Jun, Datuk Mohamad mengadakan lawatan rasmi sulungnya ke Filipina dan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, di Istana Malacanang, selain bertemu rakan sejawatannya dari Filipina, Encik Enrique Manalo.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg