KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia mempertingkatkan kerjasama dalam usaha menangani jerebu rentas sempadan, menyusuli ancaman cuaca panas dan fenomena El Nino.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata tumpuan utama diberikan kepada tindakan pencegahan serta pemadaman awal kebakaran hutan dan tanah.

Menurut beliau, persediaan menghadapi El Nino menjadi semakin kritikal apabila fenomena itu dijangka mencapai kemuncak menjelang Oktober, serentak dengan Monsun Barat Daya.

Ia katanya sekali gus, meningkatkan risiko keadaan panas dan kering serta kebakaran yang boleh mencetuskan jerebu rentas sempadan, lapor laman web agensi berita nasional, Berita RTM.

Beliau berkata kededua negara komited melipatgandakan tindakan pencegahan dan pemadaman awal bagi memastikan mutu udara bertambah baik menjelang sambutan Hari Kebangsaan Malaysia 2026 pada 31 Ogos serta Hari Malaysia pada 16 September yang bakal berlangsung di Kuching, Sarawak.

“Malaysia menghargai dan menyokong tindakan pantas pemerintah Indonesia di bawah kepimpinan Presiden, Encik Prabowo Subianto, yang menggandakan usaha pemadaman kebakaran.

“Ini juga termasuk penambahan 1,500 anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), penggunaan helikopter berkapasiti besar bagi kaedah water bombing (bom air) serta pelaksanaan operasi modifikasi cuaca secara agresif di lapangan.

“Pendekatan itu penting kerana cabaran jerebu tidak lagi boleh ditangani sekadar melalui operasi pemadaman selepas kebakaran tercetus.

“Sebaliknya memerlukan sistem pengesanan titik panas, perkongsian maklumat dan pengerahan aset yang pantas sebelum kebakaran menjadi lebih besar dan sukar dikawal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan panggilan telefon bersama Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia, Encik Moh Jumhur Hidayat, pada 24 Ogos.

Sementara itu, Datuk Arthur berkata kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada pemerintah Indonesia atas persetujuan dan kebenaran rasmi yang diberikan untuk merentasi ruang udara Indonesia bagi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang melibatkan kawasan di sempadan kedua-dua negara.

Menurutnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sedang merangka jadual operasi sebelum diselaraskan bersama Panglima TNI, sekali gus mencerminkan keperluan penyelarasan operasi yang lebih rapat dalam menghadapi keadaan cuaca ekstrem.