Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia jangka tanggung belanja subsidi petrol hingga RM40b pada 2026
Kerajaan susun semula keutamaan perbelanjaan, tumpu pada program manfaatkan rakyat dan ekon
M’sia jangka tanggung belanja subsidi petrol hingga RM40b pada 2026
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menjangkakan perbelanjaan subsidi petroleum yang perlu ditanggung, akan mencecah RM40 bilion ($12.57 bilion) pada 2026, menyusuli krisis bekalan sejagat yang melonjakkan harga minyak mentah dunia melebihi AS$120 setong.
Kementerian Kewangan berkata perbelanjaan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) meningkat daripada kira-kira RM800 juta sebulan pada Januari dan Februari, kepada hampir RM5 bilion sebulan pada Mac dan April, lapor Berita Harian Malaysia.
Bagaimanapun, tanggungan subsidi itu menyederhana kepada kira-kira RM3 bilion sebulan bagi tempoh Jun hingga Ogos lalu.
“Dalam menghadapi situasi ini, kerajaan sudah mengambil pendekatan yang seimbang bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara tanpa menjejaskan kemampanan kewangan negara.
“Kerajaan sudah menyusun semula keutamaan perbelanjaan tahunan dengan memberi tumpuan kepada program yang bermanfaat tinggi kepada rakyat dan ekonomi.
“Penyusunan semula perbelanjaan ini dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan operasi dan keutamaan setiap kementerian, bagi memastikan program bermanfaat tinggi serta perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan dan bantuan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada 29 Oktober.
Ini bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Semporna dari Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang meminta jumlah produk petroleum bagi 2026 setakat September.
Beliau turut memohon senarai potongan perbelanjaan setiap kementerian bagi menampung kenaikan subsidi pada 2026.
Menurut Kementerian Kewangan, dalam masa yang sama, kerajaan juga akan memperkukuhkan disiplin fiskal melalui kawalan perbelanjaan operasi, peningkatan kecekapan perbelanjaan awam serta pengurangan ketirisan dalam pelaksanaan program dan subsidi.
“Penguatkuasaan juga dipertingkatkan bagi memastikan bantuan dan subsidi yang disediakan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, sekali gus mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan negara.
“Kerajaan akan terus mengimbangi keperluan melindungi rakyat daripada kenaikan harga bahan api dengan pengurusan perbelanjaan yang berhemat, supaya peningkatan subsidi dapat ditampung tanpa menjejaskan kemampanan fiskal negara,” katanya.
Kemudahan petrol bersubsidi oleh Kerajaan Malaysia memanfaatkan lebih 14 juta warganya yang layak, dengan kuota bulanan 300 liter untuk setiap warga berusia 18 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah.
Harga petrol bersubsidi di Malaysia ketika ini kekal RM1.99 seliter sejak 30 September 2025, walaupun harga minyak mentah dunia melonjak, terutama sepanjang krisis Amerika Syarikat–Israel menentang Iran sejak Februari 2026.
“
“Kerajaan akan terus mengimbangi keperluan melindungi rakyat daripada kenaikan harga bahan api dengan pengurusan perbelanjaan yang berhemat, supaya peningkatan subsidi dapat ditampung tanpa menjejaskan kemampanan fiskal negara.”