Topik diikuti
Pergi ke BHkuRM11.2b tanggungan subsidi bahan api di M’sia setakat Mei 2026
RM11.2b tanggungan subsidi bahan api di M’sia setakat Mei 2026
Hampir 14j warga nikmati subsidi, libatkan 11.1b liter bahan api
RM11.2b tanggungan subsidi bahan api di M’sia setakat Mei 2026
Kerajaan Malaysia menanggung sejumlah RM11.2 bilion ($3.52 bilion) bagi subsidi bahan api sehingga 31 Mei 2026, iaitu peningkatan purata tiga kali ganda berbanding tempoh sama pada 2025, berikutan krisis di Timur Tengah sejak Februari lalu.
Menurut Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), hampir 14 juta rakyat Malaysia telah menikmati manfaat program Budi Madani setakat 31 Mei lalu, melibatkan penggunaan keseluruhan 11.1 bilion liter bahan api dengan nilai jualan sekitar RM 22.1 bilion.
“Sejak krisis di Timur Tengah, perbelanjaan subsidi Budi Madani telah meningkat secara purata sebanyak tiga kali ganda berbanding tempoh sama pada 2025,” kata MOF dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
MOF menjawab soalan Ahli Parlimen Beluran dari Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, mengenai jumlah individu yang menikmati subsidi menerusi program Budi Madani untuk bahan api setakat Mei 2026 dan jumlah subsidi yang telah disalurkan.
Kementerian itu berkata Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan program Budi Madani dan melaksanakan penambahbaikan yang bersesuaian dari semasa ke semasa bagi memastikan bantuan disalurkan secara adil, berkesan dan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Jelas MOF, tiada sebarang permohonan perlu dibuat bagi membolehkan warga Malaysia yang layak menikmati Budi Madani, melainkan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.
“Kelayakan yang ditetapkan adalah jelas dan mudah, iaitu warganegara Malaysia pemegang MyKad (kad pengenalan) yang juga memiliki lesen memandu yang sah dan daripada kelas yang layak.
“Bagi memastikan golongan yang layak tidak tercicir daripada menikmati bantuan ini, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk penyediaan portal semakan kelayakan dan transaksi, pusat khidmat pelanggan Budi Madani dan hebahan berterusan melalui pelbagai saluran media,” katanya.
MOF berkata, selain itu, Kerajaan turut melaksanakan penambahbaikan secara berterusan berdasarkan data penggunaan dan maklum balas yang diterima.
“Sebagai contoh, Kerajaan telah menyediakan kelayakan tambahan kepada pemandu e-hailing yang mempunyai penggunaan bahan api lebih tinggi berdasarkan jarak perjalanan sebenar.
“Selain itu, Kerajaan juga memperluaskan liputan program kepada nelayan darat dan pengguna bot sungai yang mempunyai keperluan operasi khusus,” katanya.
Pada 21 Jun lalu, MOF berkata Kerajaan Malaysia bersetuju menurunkan harga diesel bersubsidi buat rakyatnya kepada RM2.10 seliter mulai Julai 2026.
Ketika ini, diesel dijual pada harga bersubsidi RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak, berbanding RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.
Bagi petrol RON95 bersubsidi pula, warga Malaysia yang layak menikmatinya pada kadar harga RM1.99 seliter, manakala harga tanpa subsidi ketika ini RM3.47 seliter.
