KUALA LUMPUR: Malaysia kekal mengungguli senarai ‘Destinasi Mesra Muslim Terbaik’ dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024.
Lebih membanggakan, pada majlis Halal in Travel Awards (Anugerah Pelancongan Halal) yang berlangsung di Singapura pada 30 Mei, Malaysia turut dinobatkan sebagai ‘Destinasi Mesra Muslim Terbaik’ Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk tahun kedua berturut-turut.
Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Encik Nizran Noordin, berkata Malaysia telah menduduki tangga teratas sejak GMTI diperkenalkan pada 2015.
Beliau berkata Malaysia terus memperjuangkan pelancongan serta layanan baik mesra Muslim (MFTH) pada skala tempatan dan global.
“Pengiktirafan ini adalah bukti dedikasi pengamal industri dan pihak berkepentingan dalam memperjuangkan sektor MFTH.
“Ia menggariskan komitmen Malaysia yang tidak berbelah-bahagi terhadap MFTH dengan disokong oleh penyelidikan, latihan serta pembangunan piawaian ITC dalam sektor ini,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Mengulas lanjut, beliau berkata pasaran sejagat pelancong Muslim memberi peluang yang luas, dengan penduduk lebih 1.9 bilion.
“Angka prapandemik yang dilaporkan Mastercard dan CrescentRating mempamerkan pertumbuhan ketara dalam pasaran pelancongan Muslim iaitu daripada 108 juta pada 2013 kepada 160 juta pada 2019.
“Dengan pembukaan semula sempadan di serata dunia, GMTI menjangka terdapat seramai 230 juta pengembara Muslim menjelang 2028,” katanya.
Encik Nizran berkata populariti Malaysia dalam kalangan pelancong Muslim antara lain didorong kebolehcapaian mendapatkan makanan halal, kemudahan serta perkhidmatan berkaitan agama, pantai indah, budaya yang pelbagai dan pengalaman beli-belah yang luar biasa.
“Ia juga menawarkan pelbagai pakej pelancongan mesra Muslim, selain membolehkan pelancong menikmati kekayaan sejarah negara, seni bina masjid, warisan, gastronomi, alam semula jadi, serta seni dan budaya.
“Sebagai negara majoriti Islam, Malaysia memanfaatkan prasarana sedia ada, termasuk surau, pilihan makanan halal dan tandas mesra air.
“Melalui ITC, Malaysia sentiasa berusaha menambah baik pengalaman pengembara Islam dalam menunaikan kewajipan agama semasa perjalanan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa ITC menyediakan latihan dan pembinaan kapasiti, penyelidikan, serta pembangunan piawaian dan pensijilan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg