Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia mula jual tenaga boleh diperbaharui kepada S’pura

Dec 10, 2024 | 11:38 AM
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan (tiga dari kiri), saling bertukar dokumen perjanjian bersama Pengarah Sembcorp Power, Encik Vickrem Vijayan (empat dari kanan), dalam majlis memeterai perjanjian di Putrajaya pada 9 Disember.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan (tiga dari kiri), saling bertukar dokumen perjanjian bersama Pengarah Sembcorp Power, Encik Vickrem Vijayan (empat dari kanan), dalam majlis memeterai perjanjian di Putrajaya pada 9 Disember. - Foto TENAGA NASIONAL BERHAD

KUALA LUMPUR: Fasa pertama perdagangan Tenaga Boleh Diperbaharui (TBB) merentas sempadan dari Malaysia ke Singapura, dengan kapasiti 50 megawatt (MW), akan dimulakan pada Disember ini.

Pembekalan elektrik hijau rentas sempadan yang julung kali diadakan itu adalah hasil pelaksanaan bidaan menerusi Energy Exchange Malaysia (Enegem) pada Jun.

Perkara itu dicapai menerusi satu majlis menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (Resa) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Malaysia dengan Sembcorp Power Pte Ltd dari Singapura.

Majlis itu disaksikan oleh wakil pemerintah kededua negara di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) pada 9 Disember.

“Enegem membolehkan perolehan dan pembekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia ke Singapura dilakukan secara bidaan berdaya saing.

“TNB sebagai syarikat utiliti nasional akan membekalkan elektrik tersebut ke Singapura menerusi Syarikat Sembcorp Power dengan menggunakan rangkaian sambung tara sedia ada di antara kedua-dua negara,” ujar satu kenyataan Petra, lapor Astro Awani.

Bidaan menerusi Enegem sebahagian daripada inisiatif Petra di bawah Skim Perdagangan Elektrik Merentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Diperbaharui, yang akan dilaksanakan secara bertahap dengan jumlah kapasiti hingga 300 MW, menggunakan rangkaian sambung tara sedia ada antara Malaysia dengan Singapura.

Ia selaras dengan aspirasi peralihan tenaga serta komitmen Malaysia untuk menyokong daya usaha penyepaduan bekalan elektrik serantau melalui pelaksanaan Grid Kuasa Asean, yang merupakan salah satu agenda utama Malaysia bagi Kepengerusian Asean – Malaysia pada 2025.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata penubuhan Enegem dan kejayaan pelaksanaan perjanjian itu mencerminkan komitmen teguh TNB dalam memacu penyepaduan tenaga serantau serta mempercepatkan pencapaian matlamat tenaga boleh diperbaharui Asean.

“Inisiatif ini meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam perdagangan tenaga hijau serta mempromosikan keterjaminan, kecekapan, dan kelestarian tenaga merentasi rantau ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg