Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) akan bekerjasama dengan tujuh syarikat media bagi menawarkan lebih 70 peluang perantisan dalam peranan penerbitan kandungan, pengurusan perniagaan dan teknikal, umum Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Encik Tan Kiat How, pada 4 Disember.
Ini adalah sejajar dengan kemahiran baru yang ditambah ke dalam Rangka Kerja Kemahiran untuk Media yang diperbaharui, yang menyediakan hala tuju menyeluruh bagi karyawan media dan melakarkan masa depan kerjaya media dan pembangunan bakat.
Kemahiran baru yang disertakan dalam rangka kerja diperbaharui itu termasuk penerbitan maya (VP), yang menyaksikan satu Dana Inovasi VP $30 juta diumumkan pada 2023.
Penerbitan maya adalah kaedah pembuatan filem dan penerbitan televisyen yang menggunakan imej janaan komputer (CGI), realiti terimbuh, tangkapan gerakan dan teknologi lain untuk mewujudkan persekitaran dan kesan realistik pada set maya.
Berucap dalam majlis pembukaan Forum dan Pasaran TV Asia, Encik Tan berkata program perantisan yang akan ditawarkan itu akan menyediakan latihan amali demi memastikan bakat media bersedia untuk industri.
“Melalui latihan sambil bekerja berstruktur, perantis akan dapat mengasah kemahiran mereka dan mempunyai pendedahan kepada industri dengan mengusahakan projek di bawah bimbingan mentor berpengalaman,” kata beliau.
Dalam ucapannya itu, Encik Tan turut berkongsi butiran tentang Rangka Kerja Kemahiran untuk Media yang diperbaharui, yang akan menyediakan maklumat sektor, peranan kerja dan kemahiran sedia ada dan baru yang terkini bagi pengamal media.
Kali pertama dilancarkan pada 2018 oleh IMDA, SkillsFuture Singapura (SSG) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), rangka kerja diperbaharui itu mengenal pasti 195 peranan kerja dalam sembilan landasan, dengan 230 kemahiran teknikal dan kecekapan dalam kemahiran sedia ada dan baru dalam media.
Ini termasuk dalam bidang teknologi baru seperti VP dan kecerdasan buatan (AI) generatif (GenAI), penerbitan kandungan dan khidmat teknikal penerbitan.
IMDA dalam satu kenyataan berkata pengamal media boleh menggunakan rangka kerja itu untuk mempertingkat kemahiran dan kekal relevan dalam landskap media hari ini.
Sementara itu, majikan dan penyedia latihan pula boleh memanfaatkannya untuk merancang peluang pembelajaran dan latihan.
Dalam bidang teknologi VP misalnya, pemerintah telah memajukan permohonan VP dalam industri media Singapura sejak 2023.
Sebanyak 28 projek kandungan VP dan 650 karyawan media telah dilatih dalam kemahiran VP melalui projek dan bengkel kandungan sejauh ini, yang disokong oleh Dana Inovasi VP.
Singapura mempunyai tiga studio VP – Aux Infinite Studios, Oceanus Media Global dan X3D Studio – yang boleh menyokong projek antarabangsa yang dibangunkan dengan teknologi VP dan juga menyediakan latihan dalam kemahiran itu, kata Encik Tan.
“Kami mahu ekosistem media berkembang dan memupuk suara kreatif.
“Perkara utama kepada usaha ini adalah komitmen kami untuk membangunkan bakat media dan membuka lebih banyak peluang untuk mereka,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg