Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia nafi salur bahan api kepada pesawat pengebom junta Myanmar

Oct 18, 2023 | 4:05 PM
BUAT PENAFIAN: Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke Siew Fook, nafi pelabuhan Malaysia jadi pusat saluran bahan api jet kepada pesawat pengebom junta Myanmar.
BUAT PENAFIAN: Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke Siew Fook, nafi pelabuhan Malaysia jadi pusat saluran bahan api jet kepada pesawat pengebom junta Myanmar. - Foto PEJABAT MENTERI PENGANGKUTAN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan menafikan dakwaan pelabuhan Malaysia digunakan untuk memudahkan saluran bahan api jet kepada pesawat pengebom junta Myanmar.

Menterinya, Encik Anthony Loke Siew Fook, berkata walaupun terdapat pengendalian bahan api yang dikategorikan sebagai kargo berbahaya di pelabuhan, namun bahan api itu difahamkan adalah untuk kegunaan pesawat komersial.

Encik Loke menjelaskan pelabuhan di Malaysia mempunyai pelbagai peringkat proses saringan yang ketat di bawah kawal selia Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ia termasuk penggunaan Borang Kastam untuk barangan import dan eksport, penggunaan mesin pengimbas ‘Megaport Initiaves’ untuk aktiviti pemindahan penghantaran serta pemeriksaan secara fizikal.

“Dakwaan itu tidak tepat berikutan terdapat pelbagai pendekatan dan usaha yang dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan pelabuhan terjamin daripada risiko penyeludupan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, lapor Berita Harian Malaysia pada Rabu.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Encik Wong Chen (PH-Subang) mengenai dakwaan pelabuhan Malaysia digunakan untuk memudahkan saluran bahan api jet kepada pesawat pengebom junta Myanmar.

Mengulas lanjut, Encik Loke berkata semua dagangan atau komoditi untuk aktiviti import, eksport dan pemindahan penghantaran di pelabuhan mengandungi Kod Sistem Pengharmonian (HS), yang menyatakan dengan jelas jenis kargo terbabit.

Ini bermaksud setiap komoditi mempunyai Kod HS tersendiri bagi tujuan klasifikasi dan pengenalpastian jenis kargo, selain kod itu turut dimanifestasikan serta dikemukakan kepada pihak berkuasa yang berkaitan dan JKDM.

“Selain itu aktiviti import, eksport dan pemindahan penghantaran di pelabuhan juga tertakluk kepada Akta Perdagangan Strategik 2010, merangkumi kawalan terhadap barangan yang berupaya mengakibatkan kemusnahan seperti bahan api.

“Justeru itu jika terdapat dagangan di bawah STA 2010, kargo berkenaan akan dikategorikan sebagai ‘high alert’ (tahap waspada tinggi) dan diawasi semua pihak yang berkaitan, termasuk JKDM,” katanya.

Pada masa sama, Encik Loke berkata pihaknya turut mencadangkan supaya penjelasan yang lebih terperinci mengenai penguatkuasaan dan pemeriksaan barangan atau kargo di pelabuhan diperoleh daripada pihak berkuasa relevan lain dan JKDM, jika perlu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg