Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia nafi tuduhan syarikat perladangannya punca kebakaran hutan di Indonesia
M’sia nafi tuduhan syarikat perladangannya punca kebakaran hutan di Indonesia
DURIAN TUNGGAL (Melaka): Kerajaan Malaysia menafikan syarikat perladangan negara itu terlibat dalam pembakaran hutan di Indonesia seperti yang didakwa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) republik berkenaan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pemantauan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati kebakaran yang dikesan bukan berpunca daripada ladang milik syarikat Malaysia.
Sebaliknya, beliau berkata kebakaran berkenaan merebak dari kawasan lain.
Menurutnya syarikat perladangan tertakluk kepada piawaian kelestarian yang melarang pembakaran terbuka, termasuk ketetapan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“Setakat ini, ia (kebakaran) tidak bermula di ladang tersebut. Ia bermula di tempat lain, tetapi apabila disebabkan cuaca terlampau panas, kebakaran merebak.
“Bagaimanapun ia dapat dipadamkan dengan segera. Pemantauan mengenainya sering dilaksanakan oleh MPOB,” jelasnya, lapor portal Berita RTM.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas Program Perasmian Hari Terbuka Jelita – 12 Hours Sprint Training di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal, Melaka.
Terdahulu, media Malaysia melaporkan NGO alam sekitar Indonesia, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) mendakwa 21 syarikat yang mempunyai kaitan dan gabungan dengan kumpulan perniagaan dari Malaysia terbabit kes kebakaran hutan dan tanah di negara itu bagi tempoh Januari hingga September 2026.
Dapatan itu sebahagian daripada laporan analisis pemetaan bertajuk, ‘Who Are Behind the Fires?’ (Siapakah di Sebalik Kebakaran?) yang dikeluarkan oleh Eksekutif Nasional NGO WALHI.
Menurut laporan berkenaan, data satelit mencatat sekurang-kurangnya 30,927 titik panas di seluruh Indonesia sepanjang sembilan bulan pertama 2026.
Hampir 50 peratus daripada jumlah itu dilaporkan berada di dalam kawasan konsesi operasi syarikat perladangan kelapa sawit dan perhutanan.
Antara wilayah mencatatkan kepekatan titik panas tertinggi termasuk Kalimantan Barat iaitu 9,529 dan Kalimantan Tengah sebanyak 7,141 yang mengakibatkan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) di kawasan terjejas berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.
Analisis itu mendedahkan sekurang-kurangnya 21 syarikat konsesi di Indonesia yang dikesan mempunyai titik panas atau kejadian kebakaran merupakan anak syarikat atau sekutu kepada kumpulan gabungan perniagaan asal Malaysia.
Di samping syarikat berkaitan Malaysia, laporan WALHI turut mendedahkan bahawa sebahagian besar konsesi berisiko tinggi lain turut dikuasai oleh modal asing dan konglomerat yang mempunyai entiti induk atau pemegang saham berdaftar di Singapura, Hong Kong, mahupun wilayah perlindungan cukai seperti British Virgin Islands dan Samoa.