Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia pantau gelombang baru Covid-19 susulan kenaikan kes di S’pura

May 20, 2024 | 1:35 PM
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto FACEBOOK DR DZULKEFLY AHMAD

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti trajektori gelombang baru Covid-19 berikutan peningkatan dua kali ganda wabak berkenaan yang direkodkan di Singapura sejak dua minggu lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di Singapura membabitkan dua subvarian baru Omicron.

“KKM sedang memantau trajektori gelombang baru peningkatan dua kali ganda kes Covid-19 yang dilaporkan di Singapura.

“Setakat ini, dilaporkan ia membabitkan kes gabungan subvarian KP.1 dan KP.2 yang menyumbang lebih dua pertiga daripada kes Covid-19 di Singapura,” katanya menerusi hantaran di X, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Datuk Dr Dzulkefly memberi penjelasan terbabit sebagai respons kepada pertanyaan seorang pengguna X sama ada Malaysia bersedia berdepan gelombang baru Covid-19, sebagaimana yang sedang melanda Singapura.

Pengguna terbabit meninggalkan komen dalam satu hantaran infografik menunjukkan peningkatan kes di Singapura bagi tempoh 5 hingga 11 Mei dengan jumlah kes baru melonjak kepada 25,900.

Jumlah itu mencatatkan peningkatan mendadak berbanding 13,700 kes pada minggu sebelumnya.

Sementara itu, KKM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa jumlah kes Covid-19 di Malaysia meningkat 14.8 peratus kepada 1,230 kes pada Minggu Epidemiologi ke-20 (ME 20/2024) iaitu bagi tempoh 12 Mei hingga 18 Mei 2024.

Bagaimanapun KKM memaklumkan tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan sejak 25 April 2024.

Menurut KKM, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke kemudahan kesihatan pada ME 20/2024 berbanding ME 19/2024 iaitu pengisian katil bukan kritikal meningkat sedikit, tetapi tidak membebankan kapasiti hospital iaitu daripada 0.08 peratus kepada 0.10 peratus.

“Pengisian katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk kes Covid-19 pula menurun daripada 0.17 peratus kepada 0.04 peratus. KKM telah meningkatkan langkah siap siaga bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes di Malaysia,” menurut KKM.

KKM memaklumkan sehingga kini, varian yang sedang menular di Malaysia masih lagi varian Omicron dan subvariannya.

Kementerian itu memaklumkan terdapat satu kes K.P.2.1 dan satu kes KP.1.1 dilaporkan sejak Mac 2024, dengan kedua-dua varian itu adalah sebahagian daripada keluarga Omicron.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg