Pelamin siap dihias, tetamu meriah menanti mempelai.
Muncul pula si raja sehari, kelihatan pilu bersanding tanpa permaisuri.
Begitulah nasib seorang pengantin lelaki di Malaysia yang terpaksa bersanding seorang diri apabila isterinya, yang telah dinikahinya terdahulu, terpaksa dirawat di hospital ekoran sakit radang paru-paru.
Kisah itu dikongsi Cik Fatihah Zahra Mohd Hisham, 25 tahun, menerusi satu video tular yang dimuat naik dalam akaun TikTok beliau.
Dalam video yang telah mencatatkan lebih 1.6 juta tontonan itu, ia diberi tajuk pengakhiran sedih tahun 2023.
Cik Zahra turut menulis: “Maaf suamiku, terpaksa bersanding seorang”.
Video itu menunjukkan beberapa gambar suaminya, Encik Ahmad Al-Amin Ahmad Rais, 25 tahun, lengkap berbaju songket dan tanjak berwarna merah, bertandang seorang diri sambil diiringi beberapa budak perempuan kecil dipercayai ahli keluarganya.
Namun apabila kelihatan gambar di pelamin, beliau duduk tanpa pasangannya.
Beliau juga memotong kek tanpa isterinya itu.
Malah, apabila Cik Zahra akhirnya kelihatan berada di sisi Encik Ahmad, beliau hanya ‘hadir’ menerusi panggilan video dalam telefon bimbit pengantin lelaki itu dan dilengkapkan dengan alat pernafasan dalam bilik wad hospital.
Sementara ia jelas kelihatan Encik Ahmad sedang menahan diri daripada menangis dalam senyumannya, sebagaimana disahkan Cik Zahra dalam ruang komen pos itu.
Cik Zahra ketika dihubungi Berita Harian (BH) berkata majlis itu adalah acara bertandang di sebelah pihak pengantin lelaki yang berlangsung pada 30 Disember di Sungai Petani, Kedah.
Cik Zahra yang turut berasal dari Kedah, terdahulu telah bernikah dengan suaminya pada November 2023.
Beliau tidak dapat berada di sisi suaminya pada acara itu kerana sedang dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur ekoran radang paru-paru, katanya.
Cik Zahra berkata, beliau dimasukkan ke wad hospital lima hari sebelum majlis berlangsung.
Pada ketika itu, beliau sangka dirinya akan sembuh sepenuhnya sebelum majlis.
Namun pada malam majlis itu, tahap oksigen Cik Zahra menjunam dan beliau mengalami kesesakan nafas, lantas terpaksa melanjutkan lagi rawatannya di rumah sakit.
Beliau menjelaskan majlis itu tidak dapat ditangguh kerana tarikhnya telah ditetapkan sejak pasangan itu bertunang, katanya.
“Pada awalnya saya rasa sedih sebab tak dapat bersama suami semasa majlis,” katanya dalam satu kiriman di WhatsApp kepada wartawan.
“Tapi lama kelamaan saya dah boleh terima kenyataan dan anggap tak ada rezeki untuk bersanding.
“Lagipun kesihatan lebih penting dari everything,” tambahnya.
Menurutnya, pasangan itu telah membuat tempahan bagi 800 tetamu sempena majlis berkenaan.
Warga net dalam ruang komen di TikTok bertanya mengapa majlis itu tidak ditangguhkan ke tarikh lain.
Jawab Cik Zahra, mereka tidak dapat menangguh majlis itu sebab beliau dimasukkan ke wad sebelum bersanding dan semua persediaan sudah dibuat.
“Khemah, pelamin sudah siap pasang dan tetamu pun dah diundang,” katanya.
“Jadi terpaksa teruskan juga majlis seperti biasa.”
Bagaimanapun kisah pengantin bersanding seorang diri bukan satu perkara baru.
Pada November 2022, seorang pengantin lelaki mengalami kisah serupa apabila pasangannya dimasukkan ke wad atas sebab tertentu.
Dalam kejadian itu, lelaki tersebut memuat naik gambar dan video beliau menjamu selera beradab seorang diri di media sosial sambil mengongsi kisahnya bersanding seorang diri kerana isterinya dimasukkan ke hospital.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg