REMBAU (Negeri Sembilan): Malaysia tidak bercadang menghantar Nota Diplomatik atau mengambil tindakan undang-undang terhadap Indonesia, menyusuli jerebu rentas sempadan yang sedang melanda negara itu ketika ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata tiada keperluan untuk mengambil tindakan sedemikian kerana ia boleh memberi kesan kepada hubungan baik antara kededua negara.

“Kita belum sampai ke tahap itu (hantar nota diplomatik). Cakap dalam Parlimen senanglah dan kalau nak buat begitu, maknanya kita dah bersedia untuk memutuskan hubungan.

“Hubungan rapat kedua-dua negara ini perlu juga dijaga. Jadi, tidaklah sampai kita nak menghantar nota diplomatik atau tindakan undang-undang dan sebagainya,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau ditemui media selepas menyampaikan sumbangan bantuan pelajaran, am dan warga emas peringkat Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau, Negeri Sembilan, pada 15 Oktober.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap Indonesia berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk.

Ia termasuk menghantar bantahan diplomatik menyusuli aktiviti pembakaran hutan secara terbuka di Indonesia, sehingga mengakibatkan jerebu.

Syed Saddiq dilaporkan berkata kerajaan tidak boleh bergantung semata-mata pada pertemuan dengan pemimpin Indonesia, sebaliknya perlu mengemukakan Nota Diplomatik yang jelas dengan sokongan negara Asean lain yang turut terjejas, terutama Singapura.

Mengulas lanjut, Datuk Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata menghantar Nota Diplomatik kepada Indonesia bukan jalan terbaik kerana hubungan antara kedua-dua negara perlu diambil kira.

Beliau berkata tindakan menghantar Nota Diplomatik mungkin langkah terakhir dan Malaysia ketika ini memilih pendekatan perbincangan serta diplomasi bagi menangani isu berkenaan.

“Pendekatan lebih cantik dan diplomasi itu adalah kaedah terbaik dan bukannya dengan menghantar Nota Diplomatik.

“Saya sudah berbincang dengan rakan sejawat saya, malah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga sudah menghubungi Presiden Indonesia bagi membincangkannya,” katanya.

Jerebu yang memburuk pada 16 Oktober menyaksikan Pasir Gudang di Johor mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 209.

Sebanyak 29 kawasan lagi di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pahang mencatatkan IPU tahap tidak sihat.

Keadaan itu memaksa Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

KPM dalam kenyataan pada malam 15 Oktober memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kebimbangan ibu bapa dan penjaga terhadap kesihatan anak-anak, terutama bagi mereka yang perlu hadir ke sekolah untuk menduduki pentaksiran berkenaan.

​”Memandangkan UASA ialah pentaksiran kendalian sekolah, pihak sekolah diberikan ruang untuk menyusun semula jadual pelaksanaannya.

​”Jadual baharu akan dimaklumkan kelak kepada ibu bapa dan penjaga oleh pihak sekolah masing-masing,” kata kenyataan itu.