BUKIT MERTAJAM (Pulau Pinang): Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan Malaysia bakal menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).
Beliau berkata Malaysia telah menyampaikan hasrat untuk menyertai kesatuan ekonomi BRICS kepada Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva.
Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia akan melalui proses-proses untuk memungkinkan negara menyertai organisasi antara kerajaan itu.
“BRICS, sejak dua bulan lalu, ia telah diangkat supaya Kementerian Luar buat kajian yang keputusan dasar kita untuk menyertai BRICS. Kita akan melalui proses untuk memungkinkan kita untuk menyertai BRICS.
“Saya sendiri telah bercakap dengan Presiden Brazil tentang hasrat sedemikian,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Sebelum ini dalam satu temu bual bersama Guancha Global, syarikat penerbitan berpangkalan di Shanghai, China, Datuk Anwar dilaporkan berkata Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai kesatuan ekonomi BRICS, tidak lama lagi.
Memetik laporan NEWS.AZ, Datuk Anwar berkata kerajaan telah mengambil keputusan yang sewajarnya berhubung perkara tersebut.
“Kami akan melancarkan prosesnya secara rasmi tidak lama lagi. Sekarang kami sedang menunggu keputusan akhir, maklum balas daripada pemerintah Afrika Selatan,” katanya dalam temu bual itu.
Kumpulan BRICS telah menyaksikan dua gelombang pengembangan sejak kemunculannya pada 2006.
Pada 2011, Afrika Selatan termasuk Brazil, Russia, India dan China merupakan peserta asal menyertai BRIC.
Bagaimanapun, pada Ogos 2023, enam ahli baru, termasuk Argentina telah dijemput untuk menyertai persatuan itu.
Buenos Aires menukar fikirannya pada akhir Disember 2023.
Lima ahli baru iaitu Mesir, Iran, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Habsyah secara rasmi menyertai kumpulan itu pada 1 Januari 2024.
Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara membangun yang paling penting di dunia, bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.
Sementara itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata penyertaan Malaysia dalam BRICS dapat memberikan pelbagai manfaat terutamanya daripada aspek ekonomi.
Beliau berkata beberapa negara seperti Arab Saudi, Mesir dan UAE juga turut menganggotai BRICS.
Katanya, ketika ini proses penyertaan Malaysia dalam BRICS juga berjalan lancar dan sebarang perkembangan mengenainya akan diumumkan oleh kerajaan.
“Malaysia sudah terbabit selama ini dalam beberapa platform perdagangan dua hala dan pelbagai hala serta negara anggota kepada 15 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
“BRICS ini adalah forum ekonomi dan Malaysia terbuka untuk berbincang. Seperti dikatakan oleh Perdana Menteri (Datuk Anwar), kita akan mulakan proses penyertaan,” katanya, lapor BHM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg