Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia sifatkan usaha tuntut ganti rugi daripada Norway sukar
Tuntutan ganti rugi susulan pembatalan perolehan peluru berpandu ambil masa lama, Norway tidak beri kerjasama
M’sia sifatkan usaha tuntut ganti rugi daripada Norway sukar
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan Malaysia menyifatkan usaha untuk mendapatkan ganti rugi berikutan pembatalan perolehan peluru berpandu ‘Naval Strike Missile’ (NSM), sebagai satu proses yang sukar dan panjang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia berikutan pihaknya tidak mendapat kerjasama daripada kerajaan Norway untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan, walaupun negara itu menjadi punca kepada masalah terbabit.
“Kita sudah mengemukakan permintaan kepada kerajaan Norway supaya mereka membantu melalui pelbagai peringkat, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan saya sendiri.
“Namun, mereka (kerajaan Norway) langsung tidak membantu kita dalam usaha mendapatkan keputusan yang dapat memberi serta melindungi hak dan kepentingan kita.
“Jadi, kita terdedah hanya untuk membuat tuntutan terhadap pihak syarikat. Kita tahu apabila berhadapan dengan syarikat, mereka akan menggunakan pelbagai alasan dan sebagainya.
“Kita nampak ini akan menjadi satu proses yang panjang untuk mendapatkan penyelesaian kepada tuntutan kita,” katanya, selepas Majlis Perasmian Siber Siaga di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini, kerajaan Malaysia mempertimbangkan peruntukan baharu bagi membuat perolehan peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) dari negara lain selepas proses tuntutan ganti rugi daripada kerajaan Norway mengambil masa panjang.
Datuk Mohamed Khaled dilaporkan berkata peruntukan baharu itu perlu bagi mengelakkan aset kapal perang negara terbiar tanpa sistem peluru berpandu utama.
Ini memandangkan syarikat pembekal di Norway dilihat cuba melengah-lengahkan pertikaian berkenaan dengan berselindung di sebalik terma kontrak.
Kerajaan Norway enggan mengambil langkah mendahulukan bayaran balik yang sudah dibuat Malaysia, sekali gus memaksa kementerian melihat tiga negara alternatif sebagai pengganti dengan julat harga antara RM700 juta ($219.3 juta) hingga melebihi RM1 bilion.
Malaysia pada Mei lalu secara rasmi menghantar notis tuntutan lebih RM1 bilion kepada sebuah syarikat pertahanan Norway, menyusuli kegagalan menghantar sistem NSM untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Datuk Khaled ketika itu berkata kerajaan Malaysia menuntut kos langsung dan tidak langsung, menyusuli keputusan sepihak Norway menarik balik lesen eksport bagi sistem pertahanan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, juga menegaskan Malaysia perlu mengambil tindakan undang-undang dan diplomatik lebih tegas terhadap Norway, selepas tindakan negara itu membatalkan perolehan sistem NSM bagi melengkapkan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Beliau berkata tindakan itu tidak seharusnya terhad kepada proses perundangan terhadap syarikat pertahanan terbabit, malah perlu disusuli langkah diplomatik jangka panjang bagi mempertahankan maruah dan kepentingan negara.
“Walaupun negara itu menerima arahan daripada pihak lain untuk menghentikan pembekalan, tindakan itu sangat tidak beretika kerana pembekalan dilakukan kepada TLDM,” katanya.