Malaysia dan Singapura terus memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor kesihatan demi kemakmuran serantau dan kesejahteraan rakyat kededua negara.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata dalam pertemuan dua hala bersama rakan sejawat dari Singapura, Encik Ong Ye Kung, pada 19 Mei, mereka menzahirkan iltizam bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik merangkumi pelbagai isu termasuk pelancongan kesihatan rentas sempadan, penyelarasan dasar pelabelan makanan dan akses teknologi perubatan.

Dr Dzulkefly berkata hubungan erat Malaysia dan Singapura dalam sektor kesihatan terus dipacu menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang mencerminkan tingkat kepercayaan serta komitmen tinggi demi kesejahteraan rakyat kededua negara.

Beliau berkata dalam kerangka pertumbuhan ekonomi dan kesihatan yang inklusif, pertemuan dua pihak meneroka potensi peluasan pelancongan kesihatan rentas sempadan.

Ini katanya termasuk inisiatif memudah cara rujukan pesakit dari Singapura ke kemudahan swasta di Johor.

“Selain itu ia turut meliputi peluasan perlindungan insurans MediSave, yang pastinya mampu memangkin limpahan ekonomi dan memperluas kesalinghubungan kesihatan demi manfaat rakyat di wilayah selatan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada 19 Mei.

MediSave ialah skim di bawah Tabung Simpanan Pekerja (CPF), di mana rakyat Singapura menabung untuk kegunaan penjagaan kesihatan mereka.

Dr Dzulkefly dan Encik Ong bertemu di Geneva, Switzerland, sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-79 (WHA79).

Dr Dzulkefly berkata pertemuan itu turut memperhalusi penyelarasan dasar pelabelan makanan (Nutri-Grade) sebagai langkah proaktif dan bersepadu memerangi penyakit tidak berjangkit (NCD) di rantau ini.

“Malaysia juga menyambut baik pelaksanaan Program Persandaran Kawal Selia Peranti Perubatan yang bakal mempercepatkan akses teknologi perubatan bermutu tinggi dan inovatif ke dalam pasaran serantau,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata dalam dunia yang mendepani pelbagai cabaran kesihatan awam yang kompleks, kesepakatan itu bukan sekadar meneruskan legasi persahabatan dengan Singapura.

Tetapi katanya ia juga menjadi wahana penting dalam membina sistem kesihatan serantau yang lebih mampan, berdaya tahan dan manusiawi.

“Malaysia kekal komited mendukung diplomasi dan kerjasama yang berpaksi pada sikap saling hormat serta kemakmuran bersama,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, ketika menyampaikan Kenyataan Negara di WHA79, Dr Dzulkefly menekankan keperluan kritikal untuk dunia memastikan akses kepada bantuan kemanusiaan tidak terhalang dalam landskap geopolitik yang semakin tidak menentu.

Beliau menggesa semua negara menjunjung prinsip kemanusiaan dan menghormati undang-undang kemanusiaan.

Menurut beliau keselamatan petugas kesihatan, infrastruktur dan orang awam mesti dilindungi melangkaui perpecahan politik, manakala rantaian bekalan perubatan mesti kekal terbuka terutama pada masa krisis.

“Apabila kesihatan dipolitikkan, malah lebih buruk lagi dijadikan senjata, golongan yang paling rentan akan menanggung akibat yang paling berat,” tegasnya.