Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia-S’pura teruskan rundingan isu Pedra Branca

Wisma Putra tekankan penyelesaian adil, saksama demi kepentingan maritim negara
Dec 2, 2025 | 12:31 PM
M’sia, S’pura, rundingan, isu Pedra Branca
Rundingan pembatasan sempadan maritim melibatkan kawasan di sekitar Pedra Branca, Middle Rocks (Batuan Tengah) dan South Ledge (Tubir Selatan). - Foto fail

Malaysia dan Singapura kini meneruskan rundingan pembatasan sempadan maritim secara konsisten dan berstruktur, khususnya melibatkan kawasan di sekitar Pedra Branca, Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge), kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 1 Disember, beliau berkata rundingan itu telah bermula sejak 2020 dan dikendalikan melalui dua mekanisme utama yang diterajui sepenuhnya oleh Wisma Putra.

Pendekatan ini penting bagi memastikan keputusan yang dicapai kelak bersifat adil, saksama dan diterima oleh kedua-dua negara.

Menurut beliau, isu persempadanan maritim dibincangkan melalui Mesyuarat Bersama Malaysia-Singapura di bawah Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia Singapura (MSJTC) serta jawatankuasa pembatasan sempadan yang melibatkan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura sebagai peneraju rundingan.

Selain itu, perbincangan teknikal turut diteruskan menerusi Joint Meeting of the Sub-Committee on Maritime Boundary Delimitation for Pedra Branca, Middle Rocks and South Ledge yang melibatkan Jabatan Hal Ehwal Maritim Wisma Putra, Jabatan Peguam Negara Malaysia serta rakan sejawatan mereka dari Singapura.

“Rundingan pembatasan sempadan maritim sedang diteruskan bagi mengekalkan momentum perbincangan yang positif dalam mencari jalan penyelesaian yang boleh diterima bersama,” katanya.

Datuk Mohamad menegaskan bahawa pasukan rundingan Malaysia yang melibatkan Kementerian Pertahanan, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Pusat Hidrografi Nasional, Jabatan Laut Malaysia serta Kerajaan Negeri Johor, sentiasa komited mempertahan kedaulatan negara dalam setiap sesi rundingan.

Beliau turut menjelaskan bahawa semua langkah diplomatik, teknikal dan undang-undang antarabangsa sedang diteliti bagi memastikan Malaysia berada pada kedudukan terbaik ketika proses rundingan berlangsung.

Mengenai hala tuju hubungan dua hala, Datuk Mohamad berkata komitmen kedua-dua negara terhadap isu ini turut dizahirkan ketika Lawatan Rasmi Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, ke Putrajaya dalam Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 pada 6 dan 7 Januari 2025.

“Kedua-dua negara bersetuju agar rundingan mengenai persempadanan maritim diteruskan dan berharap isu ini dapat diselesaikan secara tuntas,” katanya.

Beliau memberikan penjelasan itu sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (AP) Tenggara, Encik Manndzri Nasib, yang meminta penjelasan mengenai perancangan kerajaan serta tindakan susulan berkaitan kes Pedra Branca, termasuk langkah diplomatik dan undang-undang bagi menjamin kedaulatan maritim negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg