KUALA LUMPUR: Pertikaian mengenai isu kedaulatan Pulau Batu Puteh, atau Pedra Branca, di Malaysia belum berakhir, dengan sekumpulan 20 organisasi bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Laporan polis itu turut mendakwa Dr Mahathir berbohong mengenai isu kedaulatan Pedra Branca yang diserahkan kepada Singapura oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat, berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak polis menyiasat kemungkinan kecuaian atau penyalahgunaan kuasa oleh Dr Mahathir.
Timbalan Pengerusi sekretariat berkenaan, Encik Shahbudin Embun, berkata laporan itu dibuat berdasarkan hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Pedra Branca, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyalahgunaan,” katanya pada sidang media, lapor Harian Metro.
Encik Shahbudin juga memaklumkan laporan polis sama juga dibuat di beberapa negeri lain, termasuk Johor, Pulau Pinang dan Perlis.
RCI sebelum ini mendedahkan bahawa Dr Mahathir menghantar surat kepada Peguam Negara pada 21 Mei 2018, menyatakan bahawa permohonan kepada ICJ berkaitan hak Malaysia terhadap kedaulatan Pedra Branca “tidak perlu diteruskan”.
Perkara itu kemudian dimaklumkan kepada Singapura bahawa Malaysia akan menarik balik kedua-dua permohonan itu.
Bagaimanapun RCI memaklumkan Singapura diberitahu mengenai perkara itu pada 9 pagi 23 Mei 2018, sedangkan mesyuarat Kabinet hanya diadakan pada 9.30 pagi hari yang sama dan membincangkan isu itu di bawah ‘hal-hal lain’.
Namun, Dr Mahathir menafikan laporan RCI itu dengan mendakwa laporan itu mengandungi banyak maklumat salah.
Beliau juga mendakwa banyak perkara yang dibincangkan dalam prosiding RCI tidak didedahkan kepada umum dan kebanyakan cadangan dalam laporan yang didedahkan sudah disunting.
Dr Mahathir turut menegaskan sekali lagi bahawa beliau tidak membuat keputusan secara unilateral (sepihak) mengenai perkara itu, sebaliknya ia adalah keputusan bersama Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet.
RCI sebelum ini mengesyorkan siasatan jenayah dimulakan terhadap mantan Perdana Menteri Malaysia ketujuh itu berkaitan kehilangan Pedra Branca kepada Singapura, susulan keputusan Kabinet menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ mengenainya pada 2018.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg