KUALA LUMPUR: Malaysia sedang menyemak fail dokumen yang bocor dan didakwa menunjukkan Deutsche Bank mengetahui wujudnya ketidakaturan dalam pengendalian transaksi berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Portal berita Malaysiakini melaporkan bahawa perkhidmatan perbankan koresponden Deutsche Bank Deutsche Bank digunakan untuk memindahkan sekurang-kurangnya 24 transaksi bernilai 172.3 juta Euro ($244.07 juta) yang dikaitkan dengan Low Taek Jho atau Jho Low, individu utama dalam skandal berbilion dolar membabitkan 1MDB.

Portal itu memetik dokumen dalaman yang dibocorkan daripada siasatan ‘Inside Deutsche Bank’, yang merangkumi lebih 15 juta fail sejak awal 2010-an.

Laporan itu turut menyatakan bahawa bank berkenaan terus memproses pemindahan wang bernilai jutaan euro yang dikaitkan dengan Low pada 2015, meskipun telah mengemukakan laporan mengenai aktiviti mencurigakan yang dikesan oleh pihaknya sendiri.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB, dilaporkan berkata bahawa terlalu awal untuk mengulas mengenai pendirian Malaysia terhadap Deutsche Bank.

Ini menurutnya memandangkan kes mahkamah terhadap bank itu masih berjalan.

“Malaysia telah mengambil dan akan terus mengambil tindakan terhadap bank-bank antarabangsa yang kami percaya gagal menjalankan semakan usaha wajar pelanggan berhubung pergerakan dana 1MDB oleh Low, sekutunya dan atau proksinya,” katanya yang dipetik sebagai berkata, menurut laporan Malaysiakini.

1MDB menyaman Deutsche Bank berhubung pengendalian transaksi berjumlah AS$1.11 bilion oleh cawangan bank itu di Malaysia bagi pihak dana milik kerajaan berkenaan pada 2009 dan 2011.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Dana untuk usaha sama dengan PetroSaudi International itu akhirnya diselewengkan.

Menurut dokumen berkenaan, bagi membiayai usaha sama itu, 1MDB pada 30 September 2009 meminta Deutsche Bank menukarkan AS$1 bilion daripada Ringgit Malaysia, sebelum memindahkan wang tersebut ke akaun 1MDB-Petrosaudi Ltd, syarikat yang ditubuhkan untuk usaha sama berkenaan.

Bagaimanapun, hanya AS$300 juta dimasukkan ke dalam akaun usaha sama itu di JP Morgan. Baki AS$700 juta pula dipindahkan ke akaun Good Star Limited yang dikawal oleh Low, yang juga ahli perniagaan dalam buruan pihak berkuasa sehingga kini.

Low, yang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri ketika itu, Encik Najib Razak, merupakan individu yang merancang rangkaian transaksi kewangan rumit sehingga membolehkan dana 1MDB diselewengkan.

Pada 27 Mei 2011, Deutsche Bank sekali lagi membantu 1MDB menukarkan AS$110 juta untuk usaha sama berkenaan, tetapi wang itu sekali lagi dipindahkan ke akaun Good Star.

Dalam kedua-dua transaksi itu, Deutsche Bank mengenal pasti ketidakteraturan dalam pelaporan bank berkenaan kepada Bank Negara Malaysia menerusi Sistem Maklumat Transaksi Antarabangsa (ITIS).

Perkara itu dinyatakan dalam Laporan Jenayah Kewangan Anti bank berkenaan bagi 2015.

Bagaimanapun, Deutsche Bank membantah pendedahan laporan itu di mahkamah.

Pada Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dimaklumkan bahawa Deutsche Bank dan 1MDB sedang mengadakan rundingan untuk menyelesaikan saman berkenaan.