Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar: Siasatan kerugian RM200j dana persaraan perlu dijalankan
Anwar: Siasatan kerugian RM200j dana persaraan perlu dijalankan
Sokong langkah SPRM teliti sama ada wujud unsur rasuah
Anwar: Siasatan kerugian RM200j dana persaraan perlu dijalankan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan perlunya siasatan lanjut dilakukan khususnya bagi meneliti prosedur kelulusan berkait isu kerugian dana pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dalam syarikat eFishery, Indonesia.
Justeru, Datuk Anwar berkata kerajaan menyokong sepenuhnya tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sudah memulakan siasatan terhadap kes penipuan terancang itu.
“Tentunya siasatan harus dilakukan. Sebab itu saya menyokong langkah SPRM untuk meneliti sekiranya ada keterlanjuran atau percanggahan dari segi hukum atau pun unsur rasuah.
“SPRM harus juga melihat proses pelaburan serta keputusan dibuat oleh panel pelaburan dan akhirnya yang dipersetujui oleh lembaga (KWAP),” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menjawab soalan Anggota Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff, pada sesi jawab lisan di Dewan Negara, pada 20 Julai.
Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan pelaburan KWAP dalam eFishery adalah mangsa penipuan terancang, menyusuli terdapat manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat dari Indonesia itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, pada 19 Julai memaklumkan, agensinya menubuhkan sebuah pasukan siasatan bagi meneliti isu kerugian RM200 juta ($63.04 juta) membabitkan pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery.
Mengulas lanjut, Datuk Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jika melihat kepada proses kelulusan dana pelaburan ke atas syarikat berkenaan sebelum ini, ia seolah-olah menyaksikan satu kejadian luar biasa.
“Dua audit bertauliah luluskan, yang ketiga pun luluskan, tak sempat disahkan. Ini tiga syarikat audit terbesar dunia meluluskan. Jadi saya kaji, ini memang ‘kepakaran’ luar biasa dari Jakarta ini, tetapi dalam penipuan, malangnya.
“Tapi ini pengajaran juga, bahawa walaupun disahkan oleh syarikat audit terkenal dunia, ia tidak menjamin.
“Kalau kita ambil pengalaman 1MDB (1Malaysia Development Berhad), itu ada penglibatan Goldman Sachs, syarikat kewangan dan audit terkenal dunia, tapi terlibat ‘complicit’ (subahat) dalam usaha penipuan ini.
“Ini pengajaran, peringatan kepada kita. Tak bergantung pada syarikat audit, sukar untuk dapat kelulusan. Kalau bergantung sepenuhnya, kita lihat ada juga risiko,” katanya.
Datuk Anwar berkata dengan kes penipuan sedemikian, panel pelaburan bagi mana-mana agensi pelaburan termasuk KWAP semakin tercabar, untuk tidak hanya bergantung kepada kepakaran audit saja, sebaliknya melihat juga dari segi nilai peraturan yang ada.
Beliau menegaskan kerajaan tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan serta keputusan berkaitan pelaburan termasuk yang dibuat KWAP, sebaliknya ia ditentukan panel pelaburan profesional dilantik.
Menurut Datuk Anwar, setiap keputusan pelaburan dibuat oleh agensi terbabit diteliti melalui projek ‘due diligence’ atau usaha wajar, selain kajian terperinci oleh panel pelaburan yang mewakili kepentingan kerajaan dan swasta.
