KUALA LUMPUR: Malaysia meneruskan usaha mengesan 54 rakyatnya yang masih hilang, menyusuli bencana di Rasuwa, Nepal, pada 26 Ogos lalu, meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh kerajaan negara itu sudah dihentikan.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata usaha itu diteruskan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu,dengan kerjasama kerajaan tempatan dan pos pendakian di sepanjang laluan kawasan berkenaan bagi mendapatkan maklumat mengenai nasib mangsa.

“Walaupun di negara Nepal itu sendiri usaha mencari dan menyelamat itu telah ditamatkan, dan kini mereka sudah masuk fasa pemulihan, kedutaan kita masih lagi berhubung dan menghubungi pos-pos tracking (penjejakan) jika ada kemungkinan-kemungkinan yang berlaku,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, pada 22 Ogos, lapor laman web Buletin TV3.

Beliau berkata kerajaan turut melahirkan rasa dukacita kepada keluarga mangsa yang terlibat, khususnya waris rakyat Malaysia yang masih menantikan berita mengenai nasib insan tersayang.

“Kerajaan dan rakyat Malaysia melahirkan rasa dukacita kepada seluruh keluarga yang terlibat, baik yang di Nepal ataupun negara asing, dan khususnya kepada keluarga 54 rakyat Malaysia yang hilang,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Mohamad berkata bencana berkenaan bukan banjir biasa.

Sebaliknya ia disifatkan sebagai tsunami di kawasan pergunungan akibat pencairan glasier dan runtuhan empangan semula jadi, menyebabkan aliran air bercampur lumpur serta batu melanda kawasan terbabit secara mendadak.

“Ia bukan banjir, ia adalah tsunami. Tsunami yang berlaku di atas gunung.

“Ini adalah akibat daripada pemanasan sejagat yang sedang berlaku, yang sedang dihadapi oleh dunia,” katanya.

Beliau berkata Malaysia pada awalnya berhasrat menghantar bantuan ke Nepal.

Namun, Menteri Luar Nepal, Encik Shisir Khanal, memaklumkan bahawa bantuan tersebut tidak akan membantu dalam menangani keadaan di negara itu.

Bagaimanapun, Malaysia kemudian mendapat kebenaran untuk menghantar Pasukan Smart (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia) dari 5 hingga 11 September lalu.

Pasukan Smart membawa sembilan dron berkuasa tinggi sumbangan Proton, Petronas dan sebuah syarikat lain untuk membantu usaha mengesan mangsa.

“Namun mereka memang tidak boleh nak buat apa-apa.

“Kita bawa dron berkuasa tinggi pun tak boleh nak pergi ke tempat itu,” katanya.

Datuk Mohamad berkata pasukan Smart akhirnya terpaksa pulang selepas membantu pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan kerana keadaan kawasan bencana menyukarkan operasi pencarian.

Bagaimanapun, Kedutaan Malaysia di Kathmandu terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, termasuk menyemak rekod pendaftaran di pos pendakian bagi mengenal pasti lokasi terakhir mangsa, selain mendapatkan maklumat isyarat telefon bimbit sebagai petunjuk bahawa mereka berada di kawasan laluan bencana berkenaan.