Topik diikuti
Pergi ke BHkuPencarian helikopter gagal kesan 17 warga M’sia hilang akibat banjir Nepal
KUALA LUMPUR: Usaha mencari 17 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir kilat dan tanah runtuh dahsyat di Rasuwa, Nepal, belum membuahkan hasil apabila pencarian menggunakan helikopter gagal menemui sebarang petunjuk kumpulan berkenaan atau enam kenderaan yang dinaiki mereka.
Wakil Fishtail Tours & Travels, Encik Roshan Panday, berkata helikopter terbabit melakukan empat pusingan di kawasan kenderaan berkenaan dipercayai dihanyutkan arus deras, namun tiada kesan mangsa atau barangan milik mereka ditemukan.
Beberapa rumah yang berada berhampiran tempat kejadian juga tidak kelihatan selepas dihanyutkan arus banjir yang sangat deras.
“Nampaknya arus berada pada tahap paling kuat ketika sampai di kawasan berkenaan,” katanya, lapor New Straits Times, setakat perkembangan pada 7 September.
Encik Roshan berkata pasukan mencari turut memeriksa kawasan hutan berhampiran, walaupun kemungkinan kumpulan berkenaan sempat sampai ke kawasan itu dianggap rendah.
“Helikopter kemudian terbang pada altitud rendah untuk mencari di kawasan sepanjang 30 kilometer (km) ke hilir dari tempat kejadian, tetapi tiada barangan yang dipercayai milik kumpulan itu ditemukan,” katanya.
Menurut beliau agensi itu turut membahagikan pasukannya di pejabat kepada tiga kumpulan bagi membuat pemeriksaan di hospital untuk mencari anggota kumpulan yang mungkin cedera, namun tiada seorang pun daripada mereka ditemui.
Pasukan berkenaan turut memeriksa dan mengenal pasti mayat yang ditemukan berikutan bencana itu.
Bagaimanapun, setakat ini tiada satu pun mayat yang dikenal pasti secara positif sebagai ahli kumpulan yang hilang.
“Usaha pencarian masih diteruskan,” katanya.
Encik Roshan berkata kumpulan berkenaan sebelum ini bergerak menggunakan enam kenderaan yang membawa 27 individu, terdiri daripada 17 rakyat Malaysia, dua warga Amerika Syarikat dan seorang warga Britain.
Kumpulan itu turut disertai tujuh kru warga Nepal termasuk seorang doktor yang menjadi sukarelawan bagi memberikan sokongan perubatan kepada 20 pelancong yang melakukan perjalanan ke kawasan altitud tinggi.
Enam pemandu turut berada dalam kumpulan berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 33 individu yang terbabit.
