KOTA BHARU: Tiga remaja lelaki maut, manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan sekumpulan penunggang motosikal dan beberapa kenderaan di Kilometer (KM) 9.9, Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu, di sini, tengah malam 16 April.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Penolong Pesuruhjaya (AC) Mohd Rosdi Daud, berkata kejadian jam 12.30 tengah malam itu membabitkan sekumpulan penunggang motosikal dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu, Kelantan.
“Sebaik sampai di lokasi, dua motosikal yang berada di hadapan berlanggar sesama sendiri dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal yang mula-mula terjatuh dan berada di jalan raya,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
“Keadaan itu menyebabkan berlaku pelanggaran empat motosikal yang berada di belakang serta membabitkan beberapa kenderaan lagi.
“Kemalangan itu menyebabkan tiga mangsa berusia 19 hingga 21 tahun meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian,” katanya dalam kenyataannya pada 16 April.
Mohd Rosdi berkata, tiga lagi penunggang motosikal yang terbabit parah dan masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Menurutnya kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal ditunggang dalam kelajuan tinggi sehingga menyebabkan penunggang gagal bertindak awal selain kesukaran melihat dalam suasana yang gelap.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kami meminta orang ramai yang melihat kejadian ini untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.
“Saksi juga boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Nurul Izzati Mohammad Rosli di talian 09-7752315 bagi membantu siasatan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg