KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas mercun yang diseludup masuk ke Malaysia bernilai lebih RM106 juta ($31.93 juta) dalam tempoh hanya tiga bulan iaitu dari 1 Januari hingga 23 Mac, menerusi operasi bersepadu yang dilaksanakan.
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kejayaan itu hasil daripada pemantauan rapi serta operasi berterusan bagi membanteras penyeludupan mercun yang semakin berleluasa sepanjang musim perayaan.
Menurutnya berdasarkan statistik, Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) merekodkan nilai rampasan tertinggi iaitu RM48.52 juta, membabitkan lima kes dan enam tangkapan.
“Sementara itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 32 kes, membabitkan 42 tangkapan dengan nilai rampasan sebanyak RM31.74 juta.
“Pasukan Polis Marin (PPM) pula merekodkan 20 kes dengan 15 tangkapan serta nilai rampasan RM24.6 juta, manakala Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) mencatatkan tiga kes dengan lima tangkapan dan nilai rampasan RM1.1 juta,” katanya, lapor Harian Metro.
Tan Sri Razarudin berkata secara keseluruhan sebanyak 60 kes direkodkan dengan 68 individu ditahan dan nilai rampasan mencecah RM106 juta.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dalam aktiviti jual beli mercun secara haram dan menyeru masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa.
“PDRM akan terus memperketatkan kawalan dan memperhebat operasi bagi memastikan aktiviti penyeludupan mercun dapat dibanteras secara menyeluruh,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, portal berita Majoriti melaporkan, seorang wanita terduduk meratapi rumahnya yang hangus dijilat api bersama dua lagi kediaman lain, ketika kurang seminggu lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri.
Kebakaran dikatakan berpunca daripada tindakan kanak-kanak bermain bunga api dalam bilik di sebuah rumah terbabit.
Dalam kejadian yang tular itu, tiga rumah di Kampung Kuala Bekah, Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, musnah dalam kebakaran kira-kira 12.30 tengah hari pada 24 Mac.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Mohd Faizwan Che Amat, berkata anggota bomba terpaksa mengambil sedikit masa bagi operasi pemadaman berikutan pili berhampiran lokasi kejadian tidak dapat digunakan.
“Apabila tiba didapati keadaan pili bomba berdekatan tempat kejadian rosak akibat perbuatan vandalisme.
“Pihak bomba bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan,” katanya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan pihak bomba masih menjalankan siasatan punca sebenar kebakaran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg