Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia uji Sistem Amaran Awal bencana seluruh negara pada 29 Nov
M’sia uji Sistem Amaran Awal bencana seluruh negara pada 29 Nov
KUALA LUMPUR: Sistem Amaran Awal (EWS) bencana terutama banjir, akan menjalani ujian simulasi di kawasan Bangunan Parlimen pada 23 November ini, sebelum pelaksanaan ujian penerimaan amaran secara serentak di seluruh negara pada 29 November.
Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mempergiat hebahan kepada orang ramai bagi memastikan masyarakat memahami bentuk pemberitahuan yang bakal diterima, termasuk paparan mesej pop-up dan bunyi amaran.
Menurutnya, hebahan menerusi Khidmat Pesanan Masyarakat (PSA) akan disebarkan melalui pawagam, televisyen, radio serta wada media sosial termasuk TikTok, dengan kerjasama pempengaruh.
Usaha itu penting bagi mengelakkan kekeliruan apabila pengguna menerima pemberitahuan berkenaan, kerana ia merupakan sebahagian daripada proses pengujian dan bukannya amaran kecemasan sebenar.
“Kita juga akan minta supaya mesej ataupun khidmat pesanan masyarakat ini disampaikan dalam semua pawagam, serta di semua televisyen dan radio.
“Kita juga akan bekerjasama dengan pempengaruh dan platform seperti TikTok untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pelaksanaan sistem amaran awal ataupun EWS,” katanya, lapor laman web Berita RTM.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi November, di Kuala Lumpur, pada 19 November.
Menurut Datuk Fahmi, pengguna tidak perlu memuat turun atau memasang sebarang aplikasi khusus untuk menerima pemberitahuan EWS, kerana sistem itu berkomunikasi secara langsung dengan telefon bimbit yang menyokong penerimaan amaran berkenaan.
Malah, EWS akan melengkapi kaedah penyampaian amaran sedia ada termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dan siren yang dipasang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sepanjang sungai.
“Untuk telefon bimbit lama, mereka masih akan menerima SMS, tetapi bagi telefon lebih baharu, penerimaan maklumat adalah melalui EWS yang akan dikeluarkan sebagai mesej pop-up,” katanya.
Selain bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan gempa bumi, EWS turut berpotensi dimanfaatkan bagi menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam.
Datuk Fahmi berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga boleh menggunakan sistem itu untuk menyalurkan maklumat penting kepada masyarakat, termasuk berkaitan kehilangan individu atau kanak-kanak.
EWS menggunakan teknologi berasaskan lokasi geografi yang membolehkan maklumat disampaikan kepada pengguna telefon bimbit dalam kawasan yang ditetapkan, meskipun terdapat kemungkinan pengguna di kawasan yang tidak terjejas turut menerima pemberitahuan.