Topik diikuti
Pergi ke BHkuMuafakat BN-PN tak gadai prinsip menentang dosa, rasuah
Timbalan Presiden PAS ajak pengundi jadikan PRN Melaka referendum rakyat tolak PH
Muafakat BN-PN tak gadai prinsip menentang dosa, rasuah
MELAKA: Kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) tidak bermakna kedua-dua gabungan itu perlu mengorbankan prinsip khususnya dalam perkara membabitkan dosa, permusuhan dan rasuah.
Timbalan Pengerusi PN yang juga Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata prinsip berkenaan perlu terus dipertahankan meskipun parti terbabit menjalin muafakat politik.
Katanya kerjasama dibentuk perlu berlandaskan perkara kebaikan dan bukannya membabitkan perkara yang bertentangan dengan prinsip dipegang bersama.
“Muafakat dalam apa keadaan sekalipun, kita ada prinsip dan kita dokong bersama PN dan BN prinsip tersebut.
“Tolong bantu dalam perkara baik dan takwa kepada Allah. Tidak boleh tolong bantu dalam perkara permusuhan dan perkara dosa.
“Prinsip ini kita dukung bersama,” katanya pada ceramah Pentas Grand Finale BN dan PN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada malam 12 November, lapor Berita Harian Malaysia.
Mengulas isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, beliau berkata PN khususnya PAS tidak sepatutnya dipersalahkan berhubung keputusan berkenaan.
Katanya, PN tidak mempunyai wakil dalam Lembaga Pengampunan yang membuat keputusan berkaitan perkara itu.
“... yang ada dalam Lembaga Pengampunan ialah pengerusi, Menteri Wilayah Persekutuan daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), betul tak?
“Yang di-Pertuan Agong telah buat keputusan bukan membebaskan Datuk Seri Najib. Beliau terus ditahan di penjara, cuma daripada penjara dipindahkan kepada penjara dalam rumah,” katanya.
Mengulas peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP, Encik Anthony Loke, beliau mempersoalkan tindakan itu sekiranya benar dibuat atas prinsip, sedangkan anggota Kabinet lain tidak mengambil tindakan sama.
“Sebab itu kita cabar kalau betul prinsip DAP dan Anthony Loke letak jawatan atas prinsip, kita cabar semua ahli anggota Kabinet letak jawatan!
“Bukan hanya Setiausaha Agung (DAP) letak jawatan, Menteri Wilayah pun kena letak jawatan, seluruh anggota Kabinet letak jawatan!” katanya.
Beliau turut mengajak pengundi menjadikan PRN Melaka sebagai referendum rakyat untuk menolak Pakatan Harapan (PH).
“Kita mesti buktikan PRN Melaka ni sebagai satu referendum rakyat untuk menolak PH. Gelombang biru Melaka akan menjadi pemangkin kepada kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16,” katanya.
PRN Melaka akan menyaksikan lebih 675,000 pengundi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat dan Kerajaan Negeri baru untuk penggal seterusnya.