MELAKA: Barisan Nasional (BN) mahu melakukan lebih baik daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya diberi kepercayaan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.

Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau mengakui pelbagai perkara baik sudah dilaksanakan kerajaan ketika ini untuk Malaysia, namun BN mahu meningkatkan lagi pencapaian berkenaan.

“Insya-Allah, jika ini berlaku, kita mahu melihat bahawa kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri adalah kerajaan yang baik. Yang baik, yang bagus, yang buat macam-macam.

“Saya ulang, kerajaan ini baik. Tetapi insya-Allah, kalau kita diberi kepercayaan, kita akan buat lebih baik! Insya-Allah, tetapi itu kita tunggu dulu,” katanya, ketika berucap pada majlis perjumpaan anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Melaka, di Melaka, pada 10 November, lapor Harian Metro.

Pakatan Harapan (PH) yang diterajui kepimpinan Datuk Anwar dan BN adalah sekutu di peringkat Kerajaan Persekutuan, namun menjadi seteru dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, yang hari pengundiannya akan berlangsung pada 14 November.

Datuk Zahid yang juga Presiden Umno sebelum ini juga beberapa kali mendesak Datuk Anwar menyegerakan pembubaran Parlimen, malah turut dilihat mengkritik kepimpinan Pengerusi PH itu secara terbuka termasuk di pentas Perhimpunan Agung Umno 2026, pada Ogos lalu.

Dalam pada itu, Datuk Zahid menyeru rakyat memberikan sokongan lebih besar kepada BN pada PRN Melaka kali ini dengan menyasarkan kemenangan melebihi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pastikan Sabtu ini (14 November) kita birukan semula Melaka dengan jumlah kerusi yang lebih banyak, insya-Allah,” katanya.

Datuk Zahid berkata kestabilan politik penting bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri dapat berjalan dengan baik.

Dalam perkembangan lain, Datuk Zahid mengingatkan BN supaya tidak hanya menumpukan perhatian kepada kemenangan pada PRN Melaka, sebaliknya turut berusaha merampas semula kerusi Parlimen di Melaka pada PRU akan datang.

“Ingat, jangan (fokus) PRN Melaka saja. Kita mahu supaya kerusi Parlimen yang kita tandingi di Melaka wajib dirampas semula,” tegasnya.

Datuk Zahid turut berharap kerjasama politik antara BN dan gabungan pembangkang ketika ini – Perikatan Nasional (PN) dapat memperkukuh peluang kemenangan parti itu.

“Mudah-mudahan semangat dan kemenangan yang ada ditambah dengan adanya dukungan daripada kawan-kawan kita yang baru, (hubungan) yang diperbaharui semula, mudah-mudahan kemenangan akan memihak kepada kita,” katanya.