Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendakwa Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sedang memainkan persepsi politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun kedua-dua gabungan itu bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Johor Muda, Encik Rasid Abu Bakar, berkata rakyat Johor perlu melihat realiti sebenar hubungan antara kedua-dua gabungan politik itu dan tidak terpengaruh dengan pertelingkahan yang ditunjukkan ketika musim pilihan raya.

Menurut beliau, BN tidak boleh menganggap Johor sebagai milik Umno semata-mata kerana keputusan PRN Johor 2022 menunjukkan parti itu tidak menerima sokongan majoriti pengundi.

“Barisan Nasional sudah mula menjelajah satu Johor dan satu Malaysia dengan naratif bahawa Johor itu Umno dan Umno itu Johor.

“Tetapi realitinya Johor bukan Umno dan Umno bukan Johor. Pada PRN 2022, BN hanya memperoleh kira-kira 23 peratus undi. Ini bermakna 77 peratus rakyat Johor tidak memilih BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi minum petang bersama media di Setia Tropika di Johor Bahru pada 8 Jun.

Tambahnya, rakyat kini berdepan cabaran ekonomi yang semakin mencabar dan bukannya memerlukan pertikaian politik antara parti-parti yang sebenarnya masih bekerjasama dalam kerajaan.

Menurutnya, di peringkat Persekutuan, pemimpin BN dan PH berkongsi pentadbiran kerajaan, termasuk memegang jawatan menteri dan timbalan menteri dalam kementerian yang sama, selain pelbagai pelantikan dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Bila masuk pilihan raya, tiba-tiba mereka bergaduh. BN mahu tunjuk kepada penyokong mereka bahawa mereka tidak berkawan dengan PH, manakala PH mahu tunjuk kepada penyokong mereka bahawa mereka tidak berkawan dengan BN.

“Hakikatnya sebelum ini mereka bersama-sama dalam pelbagai program kerajaan dan majlis rasmi,” katanya.

Encik Rasid turut mendakwa PH gagal memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sepanjang penggal pentadbiran sekarang.

Beliau berkata walaupun PH sering membawa naratif reformasi, gabungan itu didakwa tidak membantah banyak keputusan kerajaan negeri ketika persidangan DUN berlangsung.

Katanya, isu pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan menjadi contoh bagaimana PH tidak memberikan tentangan yang tegas ketika pindaan berkaitan dibahaskan.

“Ini bukan perkara kecil kerana ia melibatkan suara rakyat dan struktur demokrasi negeri.

“Tempoh perbahasan hanya diberikan lima minit dan perkara itu sendiri tidak dibantah dengan serius oleh pembangkang,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Rasid berkata Muda akan terus memberi tumpuan kepada isu-isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat termasuk ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kebajikan masyarakat.

“Mereka sedang sibuk dengan drama politik. Muda akan terus bercakap mengenai isu sebenar rakyat.

“Kita akan pastikan rakyat Johor tahu apa yang berlaku dan tidak ada mana-mana parti yang boleh menipu rakyat Johor lagi,” katanya.