Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerajaan Johor nafi dakwaan gagal sediakan peluang pekerjaan
Kerajaan Johor nafi dakwaan gagal sediakan peluang pekerjaan
Statistik menunjukkan negeri itu antara yang catat lonjakan pertumbuhan pekerjaan paling tinggi
Kerajaan Johor nafi dakwaan gagal sediakan peluang pekerjaan
Kerajaan Johor menepis dakwaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang menyifatkan negeri itu gagal menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi bagi golongan belia.
Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah, tampil menyanggah kenyataan tersebut dengan menegaskan bahawa data rasmi mencerminkan kelestarian pertumbuhan pasaran pekerjaan di Johor sepanjang pentadbiran semasa.
Menurut beliau, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membuktikan Johor antara negeri yang mencatatkan lonjakan pertumbuhan pekerjaan paling memberangsangkan di Malaysia sejak 2022.
Fakta menunjukkan sebanyak 352,200 peluang pekerjaan baharu telah diwujudkan di Johor antara suku pertama 2022 dengan suku pertama 2026, sekali gus meletakkan negeri itu di kedudukan kedua tertinggi di Malaysia, tepat di belakang Selangor.
Namun, beliau menegaskan bahawa perbandingan antara Johor dengan Selangor lebih bermakna jika ditinjau melalui nisbah penduduk bagi mencerminkan realiti sebenar.
“Melihat pada kepadatan rakyat, Johor sebenarnya jauh di hadapan. Kita menjana 83.9 peluang pekerjaan bagi setiap 1,000 penduduk, mengatasi Selangor yang mencatat 62.5 pekerjaan,” jelasnya dalam kenyataan pada 10 Jun.
Trend ini diperkukuh dengan penyusutan angka pengangguran di Johor, daripada 58,600 pada awal 2022 kepada 52,100 menjelang suku pertama 2026.
Kadar pengangguran negeri turut melandai daripada 3.2 peratus kepada 2.4 peratus – satu pencapaian cemerlang yang diiktiraf di peringkat nasional.
“Jika benar peluang kerjaya itu kian pudar, apakah daya yang memacu lonjakan tenaga kerja dan meruntuhkan angka pengangguran ini?” soal beliau.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung Muda, Cik Ainie Haziqah Shafiee, mengenai kesungguhan kerajaan negeri itu menjanjikan gaji antara RM4,000 (sekitar $1,266) dengan RM4,500 buat golongan muda.
Bagi Cik Ainie, janji saat akhir itu berbau populis menjelang pilihan raya, sedangkan mandat selama empat tahun seharusnya digunakan untuk mematangkan inisiatif sedemikian.
Beliau mendakwa langkah itu sekadar mencerminkan kegagalan pentadbiran dalam membina ekosistem pekerjaan bergaji tinggi buat belia sepanjang tempoh pemerintahannya.
Menepis dakwaan itu, Encik Mohd Hairi menegaskan bahawa usaha meningkatkan pendapatan anak muda bukanlah langkah drastik pilihan raya, sebaliknya kesinambungan daripada pelan pembangunan ekonomi dan modal insan yang giat dilaksanakan.
Menurutnya, kemasukan pelaburan baharu serta perkembangan pesat dalam sektor pusat data, teknologi, dan pembuatan maju secara konsisten membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi buat rakyat.
“Johor terus melangkah dan mencipta peluang untuk rakyat. Fokus kami adalah pada hasil nyata, peningkatan peluang pekerjaan dan penurunan kadar pengangguran yang konsisten,” tegas beliau.
