Topik diikuti
Pergi ke BHkuMuda seru parti pembangkang ketepikan ego, bina pakatan berkesan jelang PRU16
Muda seru parti pembangkang ketepikan ego, bina pakatan berkesan jelang PRU16
Pembangkang perlu mampu semak kerajaan, tawarkan dasar alternatif dan sedia jadi pilihan yang boleh dipercayai rakyat
Muda seru parti pembangkang ketepikan ego, bina pakatan berkesan jelang PRU16
KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyeru parti pembangkang mengetepikan ego, kepentingan organisasi dan perebutan kedudukan bagi membentuk kerjasama politik yang lebih tersusun menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Biro Politik Muda berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan memperlihatkan keadaan politik yang semakin mengelirukan apabila sempadan antara kerajaan dengan pembangkang menjadi semakin kabur.
Menurut parti itu, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih bersama dalam Kerajaan Persekutuan, namun bertanding menentang satu sama lain di Johor sebelum BN membentuk kerjasama pilihan raya bersama Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.
Muda turut mempersoalkan kedudukan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang menurutnya menyokong BN dalam PRN Johor dan bekerjasama dengan parti itu di Negeri Sembilan, meskipun mahu terus dilihat sebagai pembangkang di peringkat Persekutuan.
“Dalam keadaan ini, rakyat berhak bertanya satu soalan yang sangat mudah; siapa sebenarnya pembangkang?
“Pembangkang bukan sekadar mereka yang duduk di sebelah berbeza dalam Dewan Rakyat.
“Pembangkang mestilah kuasa politik yang konsisten, mampu menyemak kerajaan, menawarkan dasar alternatif dan bersedia menjadi pilihan yang boleh dipercayai rakyat,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan pada 3 Ogos.
Muda berkata parti pembangkang perlu melihat melangkaui kepentingan masing-masing dan berhenti mengutamakan persoalan mengenai parti paling besar, tokoh yang layak memimpin atau lambang yang perlu digunakan.
Sebaliknya, semua pihak perlu bersedia duduk semeja, mendengar pandangan antara satu sama lain dan mencari persamaan dalam perkara asas.
“Tidak semua pihak perlu bersetuju dalam setiap perkara, tetapi semua pihak perlu memahami bahawa pembangkang yang terlalu berpecah hanya akan melemahkan suara rakyat,” katanya.
Muda menyeru semua parti yang mahu membawa dasar progresif dan menjadi pembangkang berkesan supaya memulakan perbincangan secara jujur bagi membentuk hala tuju bersama sebelum PRU16.
Menurut parti itu, kerjasama tidak bermakna setiap parti perlu meleburkan identiti atau bersetuju dalam semua perkara.
Sebaliknya, persamaan boleh dibina berasaskan agenda seperti pembaharuan institusi, kebebasan badan kehakiman, usaha membanteras rasuah, menangani kos sara hidup, melindungi hak pekerja, menangani perubahan iklim dan mempertahankan hak semua rakyat Malaysia.
“Malaysia memerlukan politik progresif yang berasaskan dasar, penyelesaian dan keberanian untuk membina masa depan.
“Negara ini tidak boleh terus terperangkap dalam politik sentimen, ketakutan, nostalgia, perkauman dan permainan emosi yang hanya digunakan untuk meraih undi,” katanya.
Muda berkata kerjasama pembangkang turut memerlukan disiplin, termasuk kesediaan menyelaraskan pembahagian kerusi, mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan membentuk dasar alternatif yang jelas.
Menurutnya, tiada sebuah parti pembangkang ketika ini cukup kuat untuk bergerak sendirian serta mengambil alih pentadbiran negara.
“Sesiapa yang masih percaya bahawa partinya sahaja mampu menawan Putrajaya sedang memilih untuk hidup dalam khayalan politik,” katanya.
Muda berkata ia bersedia berbincang dengan mana-mana pihak yang benar-benar komited terhadap politik berprinsip, pembaharuan institusi, tadbir urus bersih dan pembentukan alternatif yang merangkumi semua golongan.