Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mufti Wilayah Persekutuan: Orang bukan Islam di M’sia tidak boleh dipanggil ‘kafir harbi’

Aug 12, 2024 | 1:27 PM
Naib Ketua Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang juga Ahli Parlimen Bentong, Cik Young Syefura Othman (tengah), bersama Ahli Jawatankuasa DAP yang juga Ahli Parlimen Bangi, Encik Syahredzan Johan (kanan), dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Ali (kiri), membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, susulan dua individu didakwa menuduh DAP sebagai kafir harbi semasa program ceramah Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Kelantan, baru-baru ini.  
Naib Ketua Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang juga Ahli Parlimen Bentong, Cik Young Syefura Othman (tengah), bersama Ahli Jawatankuasa DAP yang juga Ahli Parlimen Bangi, Encik Syahredzan Johan (kanan), dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Ali (kiri), membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, susulan dua individu didakwa menuduh DAP sebagai kafir harbi semasa program ceramah Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Kelantan, baru-baru ini.   - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Gelaran ‘kafir harbi’ tidak boleh ditujukan kepada mana-mana warganegara bukan Islam di Malaysia, iaitu negara yang menghormati perlembagaan dan mematuhi undang-undangnya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan hal ini kerana ia tidak menepati definisi dan tidak mencukupi ciri ditetapkan ulama dalam menggelar golongan bukan Islam di Malaysia sebagai ‘kafir harbi’.

Katanya, melabelkan seseorang warga Malaysia dengan gelaran itu akan membawa implikasi buruk dan dahsyat kerana mereka halal untuk diperangi, keamanan mereka tidak akan dijaga dan keselamatan harta benda mereka tidak akan dijamin.

“Dalam konteks di Malaysia, setiap warganegara daripada kalangan bukan Islam, maka mereka jauh sekali untuk dimasukkan dalam kategori golongan ‘kafir harbi’.

“Oleh yang demikian, perbuatan melabelkan sebahagian daripada warganegara sesebuah negara dengan label sebegitu adalah satu perbuatan yang ekstrem dan keterlaluan.

“Adapun jika ingin melihat konteks ‘kafir harbi’ pada zaman sekarang, maka istilah itu boleh dirujuk kepada kumpulan Zionis dan Israel yang memusuhi dan memerangi umat Islam serta mengusir mereka daripada tempat kediaman dan tanah air mereka,” kata pejabat itu menerusi Irsyad Hukum Siri Ke-864: Isu Berkaitan Pengkategorian Kafir Harbi di laman web rasminya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, istilah ‘kafir harbi’ adalah dirujuk kepada golongan orang bukan Islam yang tiada jaminan perlindungan daripada orang Islam dan merupakan golongan yang memerangi Islam dan melakukan kejahatan ke atas mereka.

Sebuah parti politik yang juga komponen dalam Pakatan Harapan (PH), iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP), menuntut individu yang mengeluarkan kenyataan parti itu adalah ‘kafir harbi di Malaysia’ pada program ceramah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Kelantan, supaya memohon maaf.

Menerusi kenyataan bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Encik Syahredzan Johan dan Cik Young Syefura Othman, mereka berkata individu terbabit dipercayai menjadi pengerusi pada majlis berkenaan.

Katanya, DAP juga menuntut kepimpinan PAS dan PN menyatakan pendirian sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan melampau dikeluarkan individu berkenaan.

Susulan itu Ahli Jawatankuasa DAP terbabit membuat laporan terhadap dua individu yang menuduh parti itu sebagai ‘kafir harbi’ dan menyifatkan kenyataan tersebut satu ucapan kebencian dan berbahaya serta menggugat ketenteraman awam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg