Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muhyiddin didakwa tak rujuk majlis tertinggi PN tolak cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan

Oct 21, 2025 | 11:02 AM
Muhyiddin, majlis tertinggi PN, Kerajaan Perpaduan, politik M’sia
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kanan), dalam program ‘The Zaid Ibrahim Podcast’ yang disiarkan pada 20 Oktober. Bersamanya adalah mantan Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim, selaku hos. - Foto BH ONLINE

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, didakwa tidak berbincang dengan Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) sebelum membuat keputusan menolak cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen (AP) Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa keputusan kepada cadangan itu dibuat dengan segera oleh Pengerusi PN itu di hadapan Sultan Abdullah selepas beberapa ketua parti, termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipanggil menghadap baginda di Istana Negara pada 22 November 2022.

Ketika itu, tiada mana-mana parti politik yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan, menyebabkan Sultan Abdullah menitahkan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Atas dasar prinsip, mungkin beliau tidak mahu bersama DAP (Parti Tindakan Demokratik), mungkin kerana kami sudah dapat 115 kerusi terlebih dahulu, akhirnya membuat pendirian Tan Sri Muhyiddin menolak (cadangan Kerajaan Perpaduan).

“Bagaimanapun, saya difahamkan oleh beberapa pimpinan kanan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Bersatu, penolakan ini tidak dibincangkan dalam MT, maknanya keputusan itu dibuat dengan segera di depan Tuanku,” katanya dalam program The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan pada 20 Oktober.

Pada petang 22 November 2022, Tan Sri Muhyiddin memaklumkan Agong menitahkan cadangan supaya PN dan PH membentuk Kerajaan Perpaduan, dalam satu sidang media selepas pulang daripada menghadap Agong di Istana Negara, bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Tan Sri Muhyiddin bagaimanapun memaklumkan kepada Agong bahawa gabungan parti itu tidak mahu bekerjasama dengan PH, kerana itu menjadi prinsip gabungan terbabit sejak dulu, lapor Berita Harian Malaysia.

Tan Sri Muhyiddin dikatakan diminta menandatangani satu dokumen berhubung cadangan itu, namun beliau menulis nota menyatakan tidak bersetuju terhadap cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan antara PN dengan PH.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal, yang kini digantung daripada Bersatu selama sepenggal, mendakwa kejadian itu menjadi titik tolak kepada masalah dalaman dalam Bersatu dan PN.

Beliau turut berpandangan PN sepatutnya perlu mengambil masa untuk berbincang mengenai cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan itu, berbanding dengan segera menolaknya.

Ditanya sama ada Tan Sri Muhyiddin berpeluang menjadi Perdana Menteri jika menerima cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan, beliau difahamkan kemungkinan ada penggiliran bagi jawatan itu kerana PH dan PN sama-sama mempunyai kedudukan kuat.

“Apabila Tan Sri Muhyiddin menolak, Datuk Seri Anwar menerima, maksudnya diberi ruang oleh Tuanku untuk memastikan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.

“Pada asalnya, semua yang sokong Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri itu menyokong Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg