Muhyiddin jelas sebab pecat pimpinan kanan Bersatu
Bersatu lapor pihak berkuasa laman Facebook diceroboh
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan memecat pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, tidak diambil secara sewenang-wenangnya.
Sebaliknya, Presiden Bersatu itu berkata pelbagai usaha telah dijalankan untuk mencari titik perdamaian dan menyelamatkan parti menerusi siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat, sebelum tindakan disiplin diambil.
Namun tambahnya, usaha itu tidak berhasil.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di kediamannya di Bukit Damansara pada 14 Februari.
“Sebagai Presiden dan pengasas parti Bersatu, saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Bersatu terus kukuh dan berada di atas landasan perjuangannya yang sebenar.
“Saya dan ramai lagi yang terlibat dalam perjuangan parti Bersatu sejak dari awal tidak rela melihat parti ini dirosakkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Selama bertahun-tahun saya mengambil sikap yang berhemah dalam menghadapi pelbagai bentuk sabotaj dalaman serta tekanan demi tekanan dari dalam parti sendiri.
“Saya juga telah memberikan tempat dalam barisan kepimpinan parti kepada orang-orang yang saya tahu menentang saya,” ujar beliau.
Oleh itu, beliau berkata barisan kepimpinan Bersatu bertekad bahawa sudah tiba masanya proses disiplin parti yang termaktub dalam perlembagaan parti perlu diambil untuk menyelamatkan parti.
Tambahnya, tindakan disiplin adalah sebahagian daripada mekanisme yang ada dalam perlembagaan parti untuk memastikan parti terus stabil dan kukuh.
Dalam kenyataannya, Tan Sri Muhyiddin berkata Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah sebulat suara bersetuju untuk melantik Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden.
Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berlangsung selepas Lembaga Disiplin parti itu memecat keahlian 17 pemimpinnya, termasuk Datuk Hamzah dan tiga lagi Ahli Parlimen parti itu.
Dalam pada itu, Bersatu telah membuat laporan kepada polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Meta susulan dakwaan pengambilalihan tanpa izin laman Facebook rasmi parti itu pada 12 Februari.
Ketua penerangan parti itu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata laporan itu dibuat untuk memastikan tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata beberapa pentadbir sah daripada akses laman itu dan kemudian beberapa hantaran telah dimuat naik yang mengandungi kandungan menyerang parti serta pemimpin parti.
Tambahnya, kandungan tersebut adalah tidak sah, tidak mewakili pendirian rasmi parti dan dibuat tanpa kebenaran kepimpinan Bersatu.
Datuk Faisal berkata Bersatu telah mengenal pasti individu yang dipercayai terlibat dengan kejadian itu.
Menurutnya, individu itu merupakan salah seorang pentadbir laman tersebut dan mempunyai kaitan dengan seorang pemimpin Bersatu yang telah dipecat pada 13 Februari.
Beliau menambah bahawa Bersatu memandang serius hal tersebut kerana ia melibatkan pencerobohan akses digital dan penyalahgunaan wadah komunikasi rasmi parti, yang boleh mengelirukan ahli serta masyarakat umum. – Agensi berita.
“
“Sebagai Presiden dan pengasas parti Bersatu, saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Bersatu terus kukuh dan berada di atas landasan perjuangannya yang sebenar. Saya dan ramai lagi yang terlibat dalam perjuangan parti Bersatu sejak dari awal tidak rela melihat parti ini dirosakkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.”
