Krisis Bersatu meruncing, kem Muhyiddin, Hamzah bertelagah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Krisis Bersatu meruncing, kem Muhyiddin, Hamzah bertelagah

Penganalisis politik: Konflik dalaman jika dibiar berlarutan, bukan saja jejas Bersatu, malah potensi heret PN ke arah kemerosotan lebih besar
Feb 9, 2026 | 5:22 PM

Krisis Bersatu meruncing, kem Muhyiddin, Hamzah bertelagah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
politik Malaysia, Krisis, Bersatu, Muhyiddin, Hamzah bertelagah
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan), bersama Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin. - Foto fail NSTP

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilanda krisis dalaman kronik menyaksikan perpecahan dua kem – kem Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan kem timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin – masing-masing mendesak pengunduran satu sama lain demi menamatkan polemik yang berlarutan.

Setakat ini beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah mengeluarkan kenyataan menyokong Datuk Hamzah dipanggil ke Lembaga Disiplin dan mendesak Ahli Parlimen (AP) Larut (Perak) itu menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin.

Dalam satu kenyataan bersama, dua MPT itu, Encik Mohd Yazid Mohd Yunus dan Encik Jasri Jamaludin, turut mendesak Datuk Hamzah tampil menafikan pembabitannya dalam apa yang disifatkan sebagai gerakan melemahkan presiden parti.

“Persoalan ini semakin serius apabila nama Datuk Hamzah sering dikaitkan dengan gerakan tersebut.

“Jika benar beliau tidak terlibat, maka Datuk Hamzah wajib tampil menafikan secara tegas dan menghentikan sebarang usaha yang mencalar kestabilan parti.

“Namun jika benar wujud perancangan tersusun untuk melemahkan kepimpinan Presiden, maka itu bukan lagi perbezaan pandangan. Itu adalah sabotaj dalaman,” kata dua pemimpin itu dalam satu kenyataan bersama pada 8 Februari.

Pada 7 Februari, dua ahli MPT Bersatu iaitu Datuk Harrison Hassan dan Encik Rosnizan Ahmad menggesa Lembaga Disiplin parti itu menyiasat Datuk Hamzah atas dakwaan memperlekehkan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin.

Kenyataan itu dibuat ketika Datuk Hamzah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin pada 12 Februari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada September 2025 dan serangan perwakilan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin.

Menerusi surat pemberitahuan Notis Panggilan kali kedua yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Radzi Manan, bertarikh 6 Februari, Datuk Hamzah yang juga Ketua Pembangkang dipanggil untuk memberi keterangan berhubung empat aduan disiplin yang dibuat terhadapnya pada 2025.

Ketika ini spekulasi berlegar kuat mengenai usaha untuk menyingkirkan Datuk Hamzah melalui satu petisyen yang didakwa diedarkan dalam kalangan wakil rakyat dan ketua-ketua bahagian parti.

Sementara itu, beberapa pemimpin yang dikatakan kem Datuk Hamzah, tampil mendesak Tan Sri Muhyiddin mengundur diri secara terhormat, dengan menyifatkan mantan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sudah hilang kredibiliti untuk memimpin Bersatu.

Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas (Pulau Pinang), Encik Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, berkata sekiranya kemelut dalaman Bersatu tidak dapat diselesaikan, bagaimana Tan Sri Muhyiddin mampu menjadi pemimpin negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Apabila ditanya kenapa saya berhujah bahawa sudah sampai masanya Tan Sri Muhyiddin memberi laluan kepada penggantinya untuk menerajui parti, jawapannya kerana Bersatu perlu kuat dan kukuh untuk menghadapi perang PRU16 nanti,” katanya dalam satu kenyataan, pada 9 Februari.

Ketua Bersatu Bahagian Raub (Pahang), Encik Mohd Fakruniam Ibrahim, pula dilaporkan berkata Bersatu Bahagian Raub meluluskan beberapa usul penting termasuk menggesa Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu, selain mencadangkan pemecatan beberapa pimpinan tertinggi parti itu.

Beliau berkata keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam dua Mesyuarat Khas Bahagian itu yang diadakan pada 1 November 2025 dan 31 Januari 2026.

Desakan untuk Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan sebagai Presiden Bersatu sebelum ini pernah disuarakan beberapa pemimpin parti itu yang akhirnya dipecat daripada parti.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan, berpandangan Tan Sri Muhyiddin kini tidak mempunyai banyak pilihan selain mengambil langkah drastik memecat beberapa pemimpin, selepas beliau dilihat semakin kehilangan kawalan terhadap parti yang dipimpinnya.

Profesor Dr Azmi berpandangan, beberapa perkembangan mutakhir termasuk isu pelantikan Pengerusi baru PN serta krisis politik yang menyaksikan pertukaran Menteri Besar Perlis daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS) kepada Bersatu menunjukkan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin semakin goyah.

“Jika konflik dalaman ini dibiarkan berlarutan, ia bukan saja akan menjejaskan Bersatu, malah berpotensi mengheret PN ke arah kemerosotan lebih besar,” katanya kepada Berita Harian (BH) sambil menegaskan keyakinan Tan Sri Muhyiddin tidak akan tunduk kepada sebarang gesaan meletak jawatan Presiden.

Beliau bagaimanapun menegaskan sebarang pemecatan terutama terhadap Datuk Hamzah akan memberi risiko kepada Bersatu, memandangkan kepimpinan Ketua Pembangkang itu mendapat sokongan kuat ketua-ketua bahagian parti itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg