KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 September daripada empat pertuduhan berkaitan Projek Jana Wibawa, selepas pihak pendakwaan memohon supaya empat pertuduhan yang dihadapinya, tidak diteruskan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berdepan empat pertuduhan: Satu kes salah guna kuasa membabitkan suapan RM200 juta ($62.38 juta) dan tiga dakwaan pengubahan wang haram bernilai sama.

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin, membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, untuk menghentikan prosiding mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

“Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh untuk empat pertuduhan itu,” katanya, lapor Harian Metro.

Sebaik sahaja hakim membacakan keputusannya, Tan Sri Muhyiddin, yang duduk di kandang tertuduh kelihatan lega, disambut dengan sorakan daripada penyokongnya yang berada di galeri awam mahkamah berkenaan.

Tan Sri Muhyiddin, 79 tahun, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM200 juta bagi Bersatu, daripada Bukhary Equity Sdn Bhd berkaitan Projek Jana Wibawa.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dengan 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya, Selangor, dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dengan Julai 2022.

Bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta untuk Bersatu, daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd, berkaitan Projek Jana Wibawa.

Jana Wibawa ialah projek yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19, kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993.

Program itu khusus untuk pembangunan kontraktor Bumiputera Tulen, di mana ahli Lembaga Pengarah, pemegang saham dan sebagainya adalah 100 peratus Bumiputera.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020, dan bertujuan mempercepat pelaksanaan projek kerajaan serta meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan.

Ia juga sebahagian usaha mencapai matlamat memperkukuh Komuniti Ekonomi Bumiputera (BEC).

Pada 9 Disember 2022, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin pada 2020 dan 2021, berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan.