Pendakwaan: Muhyiddin guna kedudukan PM salur RM225.3j ke akaun Bersatu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendakwaan: Muhyiddin guna kedudukan PM salur RM225.3j ke akaun Bersatu

Mar 9, 2026 | 5:51 PM

Pendakwaan: Muhyiddin guna kedudukan PM salur RM225.3j ke akaun Bersatu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Muhyiddin Yassin, Perbicaraan Jana Wibawa, SPRM, Bersatu, Wan Shaharuddin, Rasuah Politik Malaysia
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto MALAYSIAKINI

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes mantan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan mengemukakan bukti bahawa wang jutaan ringgit disalurkan ke akaun sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Beliau berdepan tujuh pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata pada waktu itu Tan Sri Muhyiddin adalah Presiden Bersatu dan Perdana Menteri, dengan kepentingan tidak langsung kepada Projek Jana Wibawa.

“Pihak pendakwaan mengakui wang berjuta-juta ringgit sememangnya tidak masuk ke dalam poket tertuduh, tetapi masuk ke dalam akaun sekutunya iaitu Bersatu,” katanya ketika membacakan kenyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes Tan Sri Muhyiddin di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

Wan Shaharuddin berkata pihaknya juga akan menunjukkan Menteri Kewangan ketika itu hanya bertindak berdasarkan minit mesyuarat tertuduh dan tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada keputusan yang dibuat.

“Begitu juga dengan sekutu Menteri Kewangan ketika itu iaitu Umno juga tidak mendapat apa-apa keuntungan.

“Keterangan akan menunjukkan bahawa jika tidak kerana tertuduh menjadi Presiden Bersatu dan pada masa yang sama menjadi Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Bersatu tidak akan mendapat sumbangan berjuta-juta ringgit,” kata Wan Shaharuddin, lapor Malaysiakini.

Wan Shaharuddin menjelaskan bahawa pihak pendakwaan akan bergantung pada dokumen bertulis, rekod, serta keterangan langsung dan keterangan mengikut keadaan untuk membuktikan kes ini.

Beliau berkata kira-kira 30 saksi dijangka dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

“Dalam membuktikan satu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM), pihak pendakwaan akan bergantung kepada anggapan undang-undang di bawah Seksyen 23 (2) akta sama.

“Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan bahawa Bersatu adalah satu organisasi bagi maksud Seksyen 3 ASPRM dan Mahkamah Rayuan juga memutuskan pertuduhan-pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) ASPRM tiada sebarang kecacatan,” katanya.

Perbicaraan kemudian diteruskan dengan pihak pendakwaan memanggil saksi pertamanya, Penolong Penguasa SPRM, Encik Mohd Syawaludin Said.

Tan Sri Muhyiddin, 78, yang ketika itu adalah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM225.3 juta ($72.74 juta) berkaitan Projek Jana Wibawa.

Suapan itu didakwa diterima daripada tiga syarikat – Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd – serta Datuk Azman Yusoff, untuk kegunaan parti itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh, Johor, itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Beliau turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg