KUALA LUMPUR: Fenomena cuaca panas yang melanda beberapa negeri di Malaysia membawa rezeki berganda buat peniaga, terutama penjaja minuman, pengusaha tanaman tembikai dan alat penghawa dingin, yang menyaksikan perniagaan mereka melonjak sehingga 40 peratus.
Di Pasir Puteh, Kelantan, peniaga buah-buahan, Encik Yushairan Hashim, 33 tahun, berkata tembikai kini menjadi pilihan utama pelanggan yang ingin melegakan tekak meskipun harganya kini mencecah RM3.50 ($1.06) sekilogram.
Beliau berkata cuaca panas dengan suhu tinggi sejak kebelakangan ini membuatkan ramai mudah dahaga, hingga melonjakkan permintaan terhadap buah tembikai lebih sekali ganda di Kelantan.
“Sejak tiga minggu lepas, sambutan terhadap tembikai sangat luar biasa, mengatasi permintaan buah-buahan lain.
“Disebabkan itu, saya menambah stok hingga 15 tan untuk beberapa hari jualan bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya, lapor Harian Metro.
Berita Harian pada 5 Jun melaporkan Malaysia mula dilanda fenomena cuaca panas luar biasa, dengan beberapa kawasan antaranya di negeri Kedah, Perak dan Kelantan direkodkan sebagai antara yang terkesan setakat ini.
Cuaca panas sehingga suhu maksimum mencecah 37 darjah Celsius di beberapa kawasan di negeri terbabit menyebabkan orang ramai mengambil pelbagai langkah untuk menyejukkan badan dan mengurangkan risiko strok haba.
Di Bandar Baharu, Kedah, pula cuaca terik menambah pendapatan penjaja air balang yang tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan untuk menghilangkan dahaga dengan minuman berais.
Encik Norfahrin Aziq Noraihimi, 18 tahun, berkata enam balang air yang terdiri daripada air asam boi, Milo, epal, jagung, cendol dan lemon pudina habis lebih awal daripada biasa.
“Alhamdulillah, kami dapat jual hampir 200 gelas air sehari berbanding kebiasaan hanya 100 gelas. Cuaca panas ini menyebabkan orang ramai memilih air berais untuk menghilangkan dahaga,” katanya, lapor Kosmo!.
Sementara itu Pengarah Urusan sebuah syarikat penyaman udara di Alor Setar, Kedah, Encik Azman Hassan, berkata cuaca panas berpanjangan di kawasan utara Malaysia menyebabkan permintaan pemasangan dan khidmat penyaman udara meningkat mendadak di Kedah dan Perlis, dengan lonjakan sehingga 40 peratus berbanding 2025.
“Permintaan terhadap pemasangan dan servis penyaman udara meningkat dengan ketara disebabkan keadaan cuaca terlalu panas.
“Penduduk rumah batu, seperti di kawasan perumahan, memilih untuk memasang penyaman udara kerana kediaman menjadi panas dari petang hingga malam. Satu keluarga akan rasa tidak selesa, terutama jika ada anak kecil,” katanya, lapor Sinar Harian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg