Mutu makanan, pengalaman dorong warga S’pura buka puasa di M’sia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mutu makanan, pengalaman dorong warga S’pura buka puasa di M’sia

Banyak hotel di Johor, KL perkenal pakej Ramadan sasar pelanggan dari seberang Tambak
Feb 8, 2026 | 5:30 AM

Mutu makanan, pengalaman dorong warga S’pura buka puasa di M’sia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
buka puasa, KL, JB, Warga Singapura
Kambing golek merupakan antara menu wajib yang terdapat di kebanyakan bufet berbuka puasa hotel-hotel di Johor. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Promosi berbuka puasa di hotel terus menjadi antara tarikan utama warga Singapura setiap kali Ramadan tiba, sehingga ada yang sanggup meredah kesesakan Tambak Johor semata-mata untuk menikmati sajian berbuka puasa bersama keluarga dan teman rapat di hotel pilihan.

Bagi Encik Tri Putra, 43 tahun, pengalaman berbuka puasa di hotel sudah menjadi tradisi tahunan, selagi harganya berpatutan.

“Kebiasaannya, kami memang memilih bufet Ramadan di hotel, asalkan harga masih munasabah.

“Bagi saya, sekitar $50 hingga $80, atau lebih kurang RM150 hingga RM210, masih boleh dipertimbangkan,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu (BM).

Beliau menambah, pemilihan hotel bukanlah keutamaan, sebaliknya lebih tertumpu pada keseluruhan nilai, termasuk kualiti makanan dan suasana.

“Dulu kami pernah berbuka puasa di Hotel Mutiara dekat kawasan KSL, tetapi sekarang ini saya lebih kerap lihat promosi bufet Ramadan di sekitar Kuala Lumpur.

“Lokasi bukan keutamaan, yang penting pengalaman itu berbaloi,” jelasnya.

Mengulas soal menu, Encik Putra berkata beliau tidak terlalu cerewet selagi hidangan yang disajikan menepati cita rasa dan tidak mengecewakan.

“Saya tidak terlalu memilih menu.

“Asalkan makanan itu tidak tawar dan rasanya memuaskan, sudah mencukupi bagi saya,” katanya.

Encik Tri Putra bersama isteri, ketika berbuka puasa di Kuala Lumpur.
Encik Tri Putra bersama isteri, ketika berbuka puasa di Kuala Lumpur. - Foto ihsan TRI PUTRA

Sementara itu, bagi Encik Mohamad Azan Salleh, 57 tahun, dari Bukit Batok, tradisi berbuka puasa di hotel bersama keluarga di Malaysia, telah menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, terutamanya di kawasan meriah Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Beliau merancang perjalanan dengan teliti bagi mengelakkan kesesakan di sempadan.

“Kami biasanya akan memandu dari Singapura pada Jumaat dan pulang pada Isnin.

Ini lebih selesa dan dapat elakkan kesesakan trafik, terutama di hujung minggu,” katanya.

Encik Mohamad Azan dan keluarga lebih cenderung memilih hotel bertaraf sederhana yang menawarkan suasana ceria serta lokasi strategik, berbanding hotel lima bintang yang dirasakan kurang berbaloi dengan harganya.

“Hotel pilihan kami seperti Grand Millennium atau Pullman Kuala Lumpur City Centre.

“Kawasan Bukit Bintang mudah untuk dijelajahi, suasananya hidup dan senang mencari juadah untuk moreh selepas tarawih,” jelasnya.

Mengulas soal harga, beliau berkata keluarganya mempunyai had perbelanjaan tersendiri bagi bufet Ramadan.

“Kami memang tidak pilih hotel lima bintang.

“Kalau harga makan mencecah RM200 seorang, itu sudah terlalu mahal bagi saya.

“Kuantiti pun biasanya tidak banyak, jadi tidak berbaloi.

Makan terlalu kenyang pun nanti mengganggu solat tarawih,” katanya.

Sebaliknya, beliau berpendapat harga sekitar RM100 hingga RM150 seorang sudah memadai untuk menikmati pengalaman berbuka puasa yang selesa.

Menu berbuka yang mudah menjadi pilihan keluarga Encik Mohamad Azan agar ibadah tidak terganggu.
Menu berbuka yang mudah menjadi pilihan keluarga Encik Mohamad Azan agar ibadah tidak terganggu. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Kalau sekitar RM100 itu sudah okey.

“Setiap tahun kami memang ke Kuala Lumpur untuk berbuka puasa dan membeli-belah.

“Suasananya lebih meriah berbanding di Singapura,” katanya.

Selain berbuka puasa, Encik Mohamad Azan berkata percutian singkat itu turut dimanfaatkan untuk membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri, khususnya pakaian.

“Kami biasanya datang dengan dua atau tiga kereta bersama ahli keluarga.

“Banyak masa dihabiskan membeli-belah, termasuk di Jakel dan pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur, yang memang banyak pilihan pakaian,” katanya.

KL: Kota ‘shopping’ warga S’pura

Di Kuala Lumpur, beberapa hotel pertengahan, khususnya yang mengutamakan konsep mesra Muslim, tampil menawarkan pelbagai pakej Ramadan berteraskan nilai dan pengalaman tempatan.

Antara yang mencuri perhatian ialah Tamu Hotel & Suites di Kampung Baru, yang menampilkan suasana kekeluargaan serta pengalaman ibadah yang dekat dengan kehidupan masyarakat setempat.

Pengurus Jualan Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur, Cik Sofia Agus, berkata berdasarkan rekod, antara 20 hingga 30 peratus tetamu hotel sepanjang Ramadan terdiri daripada pelancong Singapura, dengan peningkatan ketara dicatatkan pada hujung minggu.

Pengurus Jualan Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur, Cik Sofia Agus.
Pengurus Jualan Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur, Cik Sofia Agus. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Menurutnya, lokasi strategik berhampiran Masjid Jamek Kampung Baru dan bazar Ramadan, antara yang terbesar di ibu negara, menjadi tarikan, selain konsep hotel yang mesra Muslim.

Harga penginapan yang berpatutan dan juadah berbuka yang pelbagai, disokong kemudahan dan acara ibadah serta suasana Ramadan di sekeliling lokasi, turut mendorong pelancong Singapura memilih hotel berkenaan.

“Malah ada tetamu dari Singapura yang memilih berbuka puasa di masjid bersama penduduk setempat.

“Hotel ini juga menyediakan pakej penginapan lengkap bersama sahur dengan waktu penyajian yang fleksibel,” katanya sambil memaklumkan harga pakej Ramadan 2026 dikekalkan pada tahap kompetitif dengan pelarasan minimum.

Cef di Premiera Hotel Kuala Lumpur menyajikan menu sajian Barat secara langsung untuk tawaran bufet iftar Ramadan 2026.
Cef di Premiera Hotel Kuala Lumpur menyajikan menu sajian Barat secara langsung untuk tawaran bufet iftar Ramadan 2026. - Foto PREMIERA HOTEL

Sementara itu, Premiera Hotel yang terletak berhampiran Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) turut mencatat peningkatan ketara dengan kehadiran pelancong Singapura.

Pengurus jualannya, Cik Anis Yusrein Mohd Yusuff, berkata jumlah tetamu dari republik itu meningkat sehingga 15 peratus berbanding bulan biasa.

“Kami terpaksa menolak sebahagian pengunjung yang datang tanpa tempahan, kerana pakej berbuka dan bilik sudah penuh, terutama pada waktu malam apabila kawasan beli-belah sekitar Jalan TAR menjadi semakin meriah,” katanya.

Hotel premium di kawasan tumpuan seperti Bukit Bintang dan berhampiran KLCC terus menjadi pilihan pelancong Singapura sepanjang Ramadan.

Eksekutif Komunikasi dan Pemasaran Hotel Pullman & Residence, Cik Nadhirah Najib, berkata bagi kedua-dua segmen hotel dan residen, tetamu Singapura membentuk kumpulan kedua terbesar, dengan peningkatan signifikan pada Ramadan.

“Untuk bufet Ramadan, sungguhpun berlaku sedikit kenaikan harga dari RM268 pada 2025 kepada RM278 seorang untuk 2026, sambutan amat menggalakkan.

Kami menawarkan pelbagai promosi menarik, antaranya beli 10 tempat bufet Ramadan pada harga penuh, percuma 10 lagi tempat, tertakluk pada tempoh ditetapkan,” katanya.

Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Impiana KLCC, Cik Farreza Buang, berkata bagi pasaran Singapura, hotel itu memberi tumpuan kepada pakej ‘stay & dine’ (inap dan makan) yang disasarkan kepada pelancong hujung minggu.

“Lokasi hotel yang strategik di tengah bandar dan berhampiran KLCC menjadi tarikan utama, terutamanya bagi pelancong Singapura yang mencari pengalaman Ramadan selesa dan mudah diakses.

“Dengan kemudahan laluan pejalan kaki berbumbung KLCC – Bukit Bintang yang bersambung terus ke Impiana KLCC serta memudahkan aktiviti beli-belah persiapan Aidilfitri,” katanya kepada BM.

JB: Kota singgah makan minum

Di Iskandar Puteri, Legoland Malaysia Resort tampil dengan tema ‘Rasa Nusantara’ yang mengetengahkan lebih 200 hidangan serantau.

Naib presidennya, Encik CS Lim, berkata pengalaman berbuka puasa pada 2026 direka sebagai satu perayaan keluarga yang menyeluruh.

Naib Presiden Legoland Malaysia Resort, Encik CS Lim.
Naib Presiden Legoland Malaysia Resort, Encik CS Lim. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Kami bukan sekadar menyajikan makan malam, tetapi pengalaman budaya yang lengkap.

“Selain menu yang diperluas dengan stesen masakan langsung seperti ramen segar dan kambing panggang seekor, suasana turut dihidupkan dengan muzik serta tarian tradisional,” katanya.

Menurut beliau, sekurang-kurangnya 20 peratus pelanggan bufet Ramadan Legoland terdiri daripada warga Singapura dan angka itu dijangka meningkat pada 2026.

“Cuti sekolah Singapura bertepatan dengan tempoh bufet Ramadan kami.

“Ia peluang ‘dua dalam satu’ untuk keluarga bercuti, menikmati taman tema dan berbuka puasa bersama,” jelasnya.

Beliau berkata pasaran Singapura kekal sebagai penyumbang terbesar kepada kedatangan antarabangsa ke Legoland, malah menjadi pasaran luar negara nombor satu sejak taman tema itu mula beroperasi.

Menurutnya, jumlah pengunjung dari Singapura menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun dan terus menjadi tulang belakang sokongan kepada operasi resort berkenaan.

Kopi Turki yang dipanaskan di atas permukaan pasir merupakan antara kelainan yang cuba dibawa oleh Legoland Malaysia Resort dalam menu ‘Rasa Nusantara’.
Kopi Turki yang dipanaskan di atas permukaan pasir merupakan antara kelainan yang cuba dibawa oleh Legoland Malaysia Resort dalam menu ‘Rasa Nusantara’. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Jika dilihat dari sudut pengunjung antarabangsa, Singapura sentiasa berada di kedudukan teratas dan angka kedatangan ini terus meningkat saban tahun,” katanya.

Mengulas perancangan meningkatkan jumlah pengunjung, Encik Lim berkata Legoland sedang merangka pelbagai pengumuman dan tarikan baru selari dengan kempen Tahun Melawat Johor dan Tahun Melawat Malaysia, yang akan diumumkan pada masa sesuai.

Beliau berkata konsep Legoland yang sentiasa berubah dan berkembang menjadi antara kekuatan utama, apabila setiap lawatan menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

“Legoland ialah tempat yang tidak pernah sama, walaupun dikunjungi berulang kali.

“Sentiasa ada sesuatu yang baru, sama ada sempena sambutan perayaan seperti Tahun Baru Cina atau Hari Raya, kami akan tampil dengan pendekatan yang berbeza dan biasanya lebih besar berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Di pusat bandar Johor Bahru, Pengurus Besar St. Giles Southkey, Encik Teekay Goh, berkata warga Singapura terus membentuk bahagian terbesar pelanggan antarabangsa hotel itu ketika Ramadan.

Pengurus Besar St. Giles Southkey, Encik Teekay Goh.
Pengurus Besar St. Giles Southkey, Encik Teekay Goh. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Semasa Ramadan 2024 dan 2025, kadar tempahan bufet kami sekitar 88 hingga 90 peratus hampir setiap hari.

“Permintaan hujung minggu amat tinggi dan pelancong dari Singapura memainkan peranan besar dalam lonjakan ini,” katanya.

Beliau menjelaskan kenaikan harga sebanyak RM10 pada 2026 dibuat, susulan peningkatan kos operasi, bahan mentah dan perubahan pasaran tenaga kerja.

“Walaupun ada pelarasan harga, jangkaan terhadap permintaan Singapura kekal kukuh, didorong kadar pertukaran mata wang yang menggalakkan dan tarikan ratusan bazar Ramadan di Johor,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar DoubleTree by Hilton Johor Bahru, Encik Mike Williamson, berkata kira-kira 30 peratus pelanggan bufet Ramadan hotel itu datang dari Singapura.

Pengurus Besar DoubleTree by Hilton Johor Bahru, Encik Mike Williamson.
Pengurus Besar DoubleTree by Hilton Johor Bahru, Encik Mike Williamson. - Foto DOUBLETREE BY HILTON JOHOR BAHRU

“Ramai pelanggan kembali setiap tahun, termasuk keluarga dan kumpulan korporat.

Dengan tema ‘Warisan Minang’, kami mahu menawarkan pengalaman lebih mendalam yang menekankan rasa warisan dan kebersamaan,” katanya.

Beliau berkata kenaikan harga bufet dibuat seiring peningkatan mutu hidangan, termasuk penggunaan bahan premium dan sajian istimewa yang memerlukan penyediaan lebih rapi.

“Kami mahu tetamu merasakan nilai sebenar, bukan sekadar daripada jumlah hidangan, tetapi mutu dan pengalaman keseluruhan,” jelasnya.

Antara masakan wajib cuba di St. Giles Southkey ialah daging dendeng mereka yang tentunya mampu mengembalikan tenaga selepas seharian berpuasa.
Antara masakan wajib cuba di St. Giles Southkey ialah daging dendeng mereka yang tentunya mampu mengembalikan tenaga selepas seharian berpuasa. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Menurut beliau, hotel itu sering penuh ditempah dua hingga tiga minggu lebih awal, meskipun masih membina reputasi dalam pasaran Ramadan Johor.

Tumpu keseluruhan nilai, termasuk makanan dan suasana

Lokasi bukan keutamaan, yang penting pengalaman itu berbaloi... Saya tidak terlalu memilih menu. Asalkan makanan itu tidak tawar dan rasanya memuaskan, sudah mencukupi bagi saya.
Encik Tri Putra, warga S’pura yang menjadikan berbuka puasa di hotel sebagai tradisi tahunan.
Sedia pengalaman budaya lengkap

Kami bukan sekadar menyajikan makan malam, tetapi pengalaman budaya yang lengkap. Selain menu yang diperluas dengan stesen masakan langsung seperti ramen segar dan kambing panggang seekor, suasana turut dihidupkan dengan muzik serta tarian tradisional.
Encik CS Lim, Naib Presiden Legoland Malaysia Resort.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg