Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) di sempadan Malaysia-Singapura kini jauh lebih pantas.
Susulan penambahbaikan teknikal, masa perjalanan purata melalui lorong kod respons pantas (QR) bagi penunggang motosikal kini hanya sekitar tujuh saat. Prestasi ini hampir setara dengan sistem MyBorderPass.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata awalnya pengguna motosikal mengadu MyNIISe tidak sepantas sistem sedia ada.
Namun, pasukan teknikal segera bertindak, menjadikan sistem itu kini lebih lancar dan cekap.
“Pada peringkat percubaan, 18 kaunter di lorong motosikal Zon B, Bangunan Sultan Iskandar, telah dipasang kod MyNIISe. Dengan tambahan tujuh kaunter lagi di Zon A, lebih ramai penunggang motosikal dijangka menikmati proses imigresen yang lebih pantas dan tersusun,” katanya dalam kenyataan pada 22 Disember.
“Langkah ini bukan sahaja memudahkan perjalanan harian rakyat dan pelancong, malah membuktikan komitmen kerajaan memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan keselamatan, kecekapan dan mutu perkhidmatan di pintu masuk negara,” tambahnya, sambil melahirkan keyakinan inisiatif pendigitalan itu akan terus memberi manfaat nyata kepada pengguna, menjanjikan pengalaman menyeberangi sempadan yang lebih cepat, selamat dan selesa.
Dalam perkembangan lain, Encik Mohamad Fazli mendedahkan kerajaan dan Keretapi Tanah Melayu Berhad merancang membuka perkhidmatan penumpang di laluan rel kargo sepanjang kira-kira 40 kilometer dari Kempas Baru ke Pasir Gudang.
Perancangan itu merangkumi pembangunan beberapa stesen berskala sederhana bagi membolehkan penumpang naik dan turun, sekali gus memendekkan masa perjalanan antara Pasir Gudang dan kawasan seperti Kempas serta Johor Bahru.
“Menurut cadangan awal, perjalanan sejauh 25 kilometer menggunakan tren dianggarkan mengambil masa sekitar 30 minit, berbanding lebih satu jam menggunakan kenderaan persendirian pada waktu sibuk.
“Perkhidmatan berkenaan dijangka membantu mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan Pasir Gudang, Masai, Tampoi dan sekitar bandar raya Johor Bahru, selain menjadi sebahagian usaha memperluaskan rangkaian perkhidmatan kereta api penumpang di selatan Johor,” katanya.
Encik Mohamad Fazli berkata perancangan itu akan digabungkan dengan projek Komuter Selatan bagi melengkapkan jaringan rel yang lebih menyeluruh, termasuk potensi sambungan ke perkhidmatan Rel Transit Pantas (RTS) ke Singapura pada masa hadapan.
“Dengan itu, laluan rel Pasir Gudang tidak lagi terhad kepada kargo semata-mata, sebaliknya berkembang sebagai tulang belakang mobiliti harian bagi pekerja, pelajar dan pengunjung tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata laluan rel kargo berkenaan juga telah dinaik taraf merangkumi penambahbaikan landasan, sistem isyarat serta ciri keselamatan, menjadikannya lebih bersedia untuk menyokong perkhidmatan penumpang.
Keadaan ini membolehkan perkhidmatan penumpang dilaksanakan dengan kos yang lebih rendah dan tempoh pelaksanaan yang lebih singkat kerana tidak memerlukan pembinaan landasan baru sepenuhnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg