KUALA LUMPUR: Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan ketika membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, pada 9 Jun sehingga mengorbankan 15 pelajar, didapati memiliki 18 saman.
Sejumlah 13 daripada saman yang dikeluarkan adalah kesalahan membabitkan memandu laju.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata lima lagi saman membabitkan satu kes kemalangan, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan satu kesalahan tiada lampu brek ketiga.
“Semua 18 saman itu masih belum diselesaikan lagi.
“Selain kesalahan membabitkan pemandu, bas itu juga dikesan mempunyai rekod sebanyak 21 saman dikeluarkan atas kesalahan trafik,” katanya ketika dihubungi Berita Harian Malaysia (BHM) pada 10 Jun.
Mohd Yusri berkata 16 rekod saman ke atas bas itu sudah dijatuhkan hukum manakala baki lima saman masih dalam siasatan.
Mengulas mengenai siasatan kemalangan tersebut, Mohd Yusri berkata pihaknya sudah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan membabitkan bas sewa khas UPSI di JRTB.
“Pasukan siasatan ini diketuai Ketua Penolong Pengarah Siasatan/Perundangan JSPT, Superintendan Shankar Sanrakasa dan akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan pihak berkaitan akan menyiasat nahas itu secara menyeluruh.
“Kita akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk kita mendakwa pemandu (bas) terbabit di mahkamah.
“Kita akan menyiasat dalam pelbagai sudut dari segi rekod (kesalahan), latar belakang, kegiatan dan kerjaya dia sebelum ini, kita akan siasat semuanya,” katanya.
Pada 9 Jun, seramai 15 pelajar UPSI meninggal dunia, manakala tujuh cedera parah selepas bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan pada 1.15 pagi.
Bas dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Alza dan terbabas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg